KUALA LUMPUR: Selepas membuat penampilan semula menerusi beberapa konsert ‘reunion’, kumpulan New Boyz yang pernah mencipta fenomena dan menjadi kegilaan remaja bermula penghujung era 90-an, membuat keputusan untuk berehat seketika.
Vokalisnya Tomok, atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 40, berkata konsert 25th Anniversary New Boyz Live in Singapore pada Oktober lepas merupakan persembahan terakhir mereka sebelum berehat – satu keputusan yang dipersetujui oleh semua ahli kumpulan.
“New Boyz tidak bubar… masih ada. Kami hanya berehat seketika, mungkin dalam dua atau tiga tahun. Selepas itu, kami akan kembali semula. Kami sudah mengadakan dua konsert besar tahun lalu dan dua (pada) tahun ini termasuk di Singapura.
“Jadi, kami berasakan kalau back-to-back pun tidak seronok juga, kerana kalau buat (konsert) tiap-tiap tahun, nanti peminat (akan) bosan. Kalau boleh, kami mahu wujudkan rasa rindu dalam kalangan peminat. Masa itu barulah kami kembali,” katanya pada sidang media Konsert Tomok dan Siti Nordiana: Memori Mungkin Berulang, di sini semalam.
Walaupun perjalanan seni mereka akan sepi seketika, Tomok yakin New Boyz yang turut dianggotai oleh Lan, Jay dan Afiez (gitar), Zack (bes), Along dan Ristoe (dram) akan terus relevan dalam industri muzik serta dapat membuat kemunculan semula menerusi sokongan peminat setia.
New Boyz yang bergiat aktif sejak 1999 hingga 2007 sebelum menyepikan diri daripada dunia seni, popular dengan lagu seperti Sejarah Mungkin Berulang, Meraung, Marah Bukan Sifatku dan Luka Mu Luka Ku Jua.
Selain itu, Tomok yang juga juara program realiti One In A Million musim ketiga, berkata beliau akan tetap menyanyikan lagu popular New Boyz pada persembahan pentas sepanjang tempoh kumpulan itu berehat.
“Jika saya ada lagu baharu dan lagu ini disukai ramai, peminat masih mahukan lagu popular New Boyz. Saya sudah berbuat begini sejak dulu lagi dan ahli-ahli lain pun tahu. Ini memang kerjaya saya dan mereka juga ada kerjaya sendiri,” katanya.
Mengulas perkembangan lain, Tomok mengakui teruja dapat mengadakan konsert pertama bersama-sama dengan Siti Nordiana di ibu negara pada 1 Februari depan, yang dianjurkan oleh syarikatnya sendiri Popsicle Records.
Beliau berkata idea mengadakan konsert itu timbul selepas melihat reaksi positif terhadap penampilan istimewa Siti Nordiana pada konsert New Boyz, Julai lepas, selain sebagai hadiah kepada peminat atas sokongan dan kesetiaan mereka.
“Jadi, saya rasa ini waktu yang tepat untuk mengadakan konsert bersama Siti Nordiana, sekali gus dapat mengimbau dan menggamit memori lama sejak memulakan karier nyanyian di bangku sekolah pada era 90-an,” katanya yang turut berhasrat membuat konsert solo suatu hari nanti. – Bernama