GARY Neville menuduh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) ‘takut mati’ untuk menyokong secara terbuka perancangan menyambung semula saingan liga musim ini.
Pemegang taruh EPL mengadakan mesyuarat Jumaat lalu untuk berdebat bagaimana menghabiskan saingan musim ini, dengan ada laporan menyatakan sesetengah kelab mahu liga dimansuhkan berikutan pandemik Covid-19 dan ada pula mahu ia diteruskan.
Bekas pertahanan Manchester United itu percaya kelab tidak mahu bertanggungjawab jika ada pemain jatuh sakit disebabkan Covid-19 sekiranya saingan musim ini bersambung.
Liga Perancis dan Belanda mengambil keputusan membatalkan saingan berikutan krisis kesihatan ini dan EPL meletakkan sasaran untuk bersambung semula Jun depan.
“EPL mengalami mimpi buruk. Mereka sentiasa menekan kesihatan menjadi keutamaan tapi terus menerangkan bahawa saingan harus diteruskan.
“Saya akan menghormati mereka jika mereka berkata mahu mengambil risiko kesihatan dan salah satu perkara yang harus mereka terima. Tapi tidak, mereka seolah-olah takut seperti hendak mati,” katanya dalam Twitter.
Salah seorang pengikutnya di Twitter bertanyakan kepadanya jika ada seseorang meninggal dunia akibat penyambungan semula saingan.
“Jadi buat apa pengerusi, pemilik, eksekutif kelab asyik buka mulut kita harus memulakan saingan. Terangkan, takut mati adalah sesuatu yang harus dipersalahkan,” katanya menjawab persoalan berkenaan.
Neville hanya menghormati Brighton yang satu-satunya pasukan berani tampil mengeluarkan kenyataan umum.
Brighton mengadakan sidang media secara virtual dengan Ketua Eksekutif, Paul Barber tampil dengan idea menamatkan saingan di gelanggang neutral.
Sementara itu, Divock Origi yakin permainannya bertambah baik walaupun berdepan peluang terhad di Liverpool dan mahu terus bekerjasama dengan Jurgen Klopp.
Origi memahat namanya sebagai wira Anfield musim lalu menerusi jaringan penting termasuk gol kemenangan perlawanan akhir Liga Juara-Juara ke atas Tottenham.
Pemain antarabangsa Belgium itu meledak lima gol lagi dalam semua kejohanan musim ini, namun dia sering dibayangi tiga bintang utama jentera serangan Reds iaitu Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane.
Origi menandatangani kontrak jangka panjang di Merseyside Julai 2019, dan dia tidak mempunyai sebab untuk berpindah.
“Saya menjadi pemain yang lebih baik berbanding tahun lalu,” kata penyerang berusia 25 tahun itu kepada Het Laatste Nieuws.
“Klopp memberi saya ruang untuk mengembangkan diri.
“Saya sering ikut kata hati dan terus berusaha. Kami telah berbincang dengan Liverpool dan kami menuju kejayaan yang terbentang di hadapan kami. Saya hanya mahu meningkat prestasi di sini.
“Ini adalah satu projek untuk saya dan saya ingin mengikutinya. Saya tidak tahu berapa lama lagi saya akan melakukannya.
“Saya rasakan semakin menunjukkan kemajuan, jadi sayang jika musim ini terhenti kerana wabak Covid-19.” jelasnya lagi.-AFP