
ISTANBUL: Pihak berkuasa Nepal sedang meneliti penggunaan gas xenon oleh empat pendaki veteran Tentera British semasa pendakian Gunung Everest baru-baru ini, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laporan akhbar Kathmandu Post.
Jabatan Pelancongan Nepal dalam kenyataan pada Khamis mengakui laporan media mengenai kejayaan yang dicapai oleh bekas anggota pasukan khas itu.
“Kami kini sedang berhubung dengan ketua ekspedisi, ahli pasukan dan agensi berkaitan untuk mengumpul maklumat terperinci serta menjalankan kajian dan analisis menyeluruh mengenai perkara ini,” menurut kenyataan tersebut.
Keempat-empat veteran berkenaan, yang digelar ‘Pendaki Xenon’, menjadi kumpulan pertama yang sampai ke puncak Everest menggunakan terapi gas xenon, dengan kejayaan itu dicapai pada Rabu.
Pasukan itu termasuk Alastair Carns, seorang Ahli Parlimen dan Menteri Hal Ehwal Veteran di Kementerian Pertahanan United Kingdom, bersama Garth Miller, Anthony Stazicker dan Kev Godlington.
Mereka dilaporkan menggunakan gas xenon di Jerman sebelum pendakian, yang membolehkan mereka mencapai ketinggian 8,848 meter (29,000 kaki) dalam masa kurang lima hari, tanpa melalui proses penyesuaian tradisional yang mengambil masa berminggu-minggu.
Penggunaan gas xenon yang dipercayai dapat mencegah penyakit altitud dan mengurangkan kesan kekurangan oksigen mencetuskan kontroversi dalam kalangan komuniti pendakian.
Persekutuan Mendaki dan Pendakian Gunung Antarabangsa (UIAA) menyuarakan kebimbangan mengenai ketiadaan bukti saintifik yang menyokong keberkesanan gas xenon di altitud tinggi serta risiko kesihatannya, termasuk kesan ke atas otak dan sistem pernafasan.– Bernama-Anadolu