

BINTULU: Seorang nenek dan cucunya maut selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah blok rumah pekerja di Jalan Sungai Nyigu di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar 1.01 pagi itu, mangsa yang berumur 61 tahun dan cucunya 15 tahun, ditemukan rentung di lokasi kejadian sekitar 4.20 pagi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.01 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan sebuah blok rumah pekerja dua tingkat berstruktur tidak kekal yang mempunyai 31 pintu, dengan anggaran keluasan 100 x 30 kaki persegi, dan terbakar 100 peratus.
“Empat motosikal turut terjejas, dengan tiga daripadanya musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi rosak sekitar 40 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada 1.10 pagi dan menerima maklumat awal bahawa terdapat mangsa dipercayai terperangkap di dalam bangunan semasa kejadian berlaku.
Operasi pemadaman dijalankan dengan membentangkan dua aliran sepanjang 300 kaki menggunakan dua nozel, dengan sumber air diperoleh daripada sungai berhampiran melalui sistem pam ke tangki jentera.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 1.28 pagi sebelum dipadam sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada 5.30 pagi,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan siasatan.
Oleh Carolyne Utih