
KABONG: Suasana di Jeti Kabong dipenuhi oleh ratusan penduduk sebaik sahaja menerima khabar mengenai penemuan jasad manusia oleh nelayan tempatan di perairan Kabong, pagi tadi.
Jasad tersebut ditemui pada 9.58 pagi, kira-kira 3.4 batu nautika dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Identitinya masih belum disahkan secara rasmi dan telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses pengecaman ahli keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir turut berada di lokasi dan menzahirkan harapan agar jasad dua beranak yang hilang sejak Rabu lalu dapat ditemui.
“Saya berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua beranak ini diperhebatkan oleh pelbagai agensi penyelamat serta dibantu penduduk Kabong sendiri.
“Pada masa yang sama, saya menggesa ahli keluarga agar tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Terdahulu, dua mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Tuah Bujang, 57 dan anaknya, Aiman Tuah, 24, yang keluar menangkap ikan pada Rabu lalu sekitar 2.00 petang.
Bagaimanapun, cuaca buruk dengan hujan lebat dan laut bergelora sekitar 5.00 petang menyebabkan mereka gagal dihubungi.
Laporan kehilangan rasmi dibuat di Balai Polis Kabong pada Khamis lalu sekali gus menggerakkan operasi SAR yang kini giat dijalankan.
Sehingga kini, operasi SAR masih giat dijalankan dengan bantuan pelbagai agensi penyelamat serta penduduk tempatan.
Oleh Adi Safarman