KUCHING: Nelayan di Kampung Senari mengharapkan belas ehsan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membantu mereka membina sebuah jeti pendaratan ikan (gambar) di kampung pesisir itu.
Salah seorang nelayan, Awang Affendi berkata dia dan rakan-rakannya kini sukar mencari rezeki kerana jeti yang sedia ada hampir roboh ekoran keadaannya sudah usang dimamah usia.
“Dana untuk projek pembinaan jeti pendaratan ikan di Kampung Senari pernah diluluskan ketika Barisan Nasional (BN) masih wujud di negeri ini.
“Tetapi peruntukan itu terbatal selepas kerajaan beralih arah kepada Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui pemberita Utusan Sarawak di sini, hari ini.
Katanya, makanan laut adalah sumber pendapatan utama penduduk Kampung Senari.
Sementara itu, Drahman Hussein berkata, pada masa dahulu jeti ini sibuk dengan persinggahan kapal ikan dari Beladin.
“Saya sudah lama tidak turun ke laut untuk menangkap ikan. Pada masa ini, saya hanya menjala ikan berhampiran sungai sahaja. Dulu, kawasan jeti ini meriah dengan persinggahan kapal ikan tetapi kini ia telah suram.
“Saya amat berharap kerajaan negeri membantu kami dan mendengar rayuan ini,” katanya.
Ketika musim tengkujuh ini, nelayan di Kampung Senari sukar mendapatkan sumber makanan dan hidup mereka seperti ‘kasi pagi makan pagi, kasi petang makan petang.’
Belas ehsan dari kerajaan negeri amat diperlukan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.
Oleh NUR AIN OTSMAN