
MERSING: Kedengaran tidak masuk akal apabila beras, telur dan ayam segar boleh dibeli pada harga hanya RM1, itulah peluang keemasan yang dinikmati 100 nelayan asnaf di daerah ini menerusi inisiatif ‘Paso Singgit’ yang dianjurkan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini semalam.
Seorang nelayan, Eade Mohamed, 56, berkata inisiatif itu memberi sedikit kelegaan kepadanya dalam berdepan pendapatan yang tidak menentu dan peningkatan kos sara hidup.
Bapa empat anak itu berkata barangan keperluan asas yang ditawarkan pada harga “terlebih Rahmah” tersebut, dapat menjimatkan perbelanjaan untuk Ramadan, terutama apabila dia jarang turun ke laut semasa Monsun Timur Laut (MTL) lepas.

“…mula-mula rasa macam tak percaya sebab mana ada jual beras lima kilogram seringgit, biasanya di pasaran berbelas ringgit satu kampit,” katanya teruja ketika ditemui Bernama pada program tersebut.
Eade yang hampir tiga dekad mencari rezeki di laut, berkata keadaan cuaca yang tidak menentu ketika musim monsun menyebabkan hasil tangkapan berkurangan, sekali gus menjejaskan pendapatannya.
Sementara itu, Nur Zalifah Diran, 49, berkata harga RM1 bagi setiap barangan membantu menjimatkan perbelanjaan keluarganya terutama dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.
Dia dan suaminya yang juga seorang nelayan, Nor Azman Saleh, berpeluang membeli banyak keperluan harian seperti beras, telur, biskut, bawang, susu pekat, sardin, ayam mentah setengah ekor, sos dan kicap pada harga kurang RM10.

Program ‘Paso Singgit’ menawarkan lebih 50 jenis barangan keperluan berupa makanan, pakaian, beg dan kelengkapan ibadah seperti telekung, sejadah serta al-Quran.
Setiap penerima diberikan kupon masuk dan hanya dibenarkan membeli satu unit setiap jenis barangan bagi memastikan agihan yang lebih adil.
Sementara itu, Pengerusi Malaysian Relief Agency (MRA) Johor Siti Zubaidah Samat berkata kutipan RM1 yang dikenakan hanyalah sebagai tanda komitmen, dengan hasil jualan tersebut disalurkan semula kepada komuniti setempat menerusi pelbagai program bersama golongan memerlukan.
“Di Mersing, kita memberi tumpuan kepada komuniti nelayan memandangkan mereka berdepan ketidaktentuan pendapatan, lebih-lebih lagi ketika MTL.
“Alhamdulillah, semua barang habis terjual dalam tempoh kurang dua jam dan kita berjaya mengutip keseluruhan RM3,026. Barangan yang disediakan ini merupakan sumbangan orang ramai serta penyumbang tetap MRA,” katanya sambil memaklumkan program itu akan diperluaskan ke daerah lain.
-Bernama