
SIMANGGANG: Pasukan Nektuu FT muncul juara Pertandingan Futsal anjuran Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Simanggang dan Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang dalam saingan sengit sistem Liga Sepusingan di Gelanggang Futsal RPR Taman Sentosa Indah, semalam.
Kemenangan itu membolehkan Nektuu FT membawa pulang piala iringan, pingat dan wang tunai berjumlah RM500.
Naib juara disandang oleh Fuhai FT yang menerima RM300, diikuti pasukan PST di tempat ketiga dengan RM200, manakala pasukan MFG SABERKAS Bukit Begunan di tempat keempat.
Dua pemain Nektuu FT turut mencuri tumpuan apabila Azizan Bredad dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dengan lapan gol, manakala Haziq diumumkan sebagai penjaga gol terbaik.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Simanggang.

Dalam ucapannya, Harden merakamkan tahniah kepada penganjur kerana berjaya mengadakan pertandingan yang bukan sahaja mencungkil bakat muda dalam sukan, malah memperkukuh semangat perpaduan dan kerjasama belia setempat.
“Aktiviti seperti ini wajar diteruskan bagi menggalakkan golongan belia memanfaatkan masa lapang dengan aktiviti sihat dan membina jati diri,” katanya.
Pada majlis sama, Setiausaha SABERKAS Cawangan Simanggang turut menyerahkan 100 borang keahlian baharu kepada Harden sebagai simbol sokongan berterusan belia terhadap gerakan SABERKAS di kawasan itu.
Oleh Adi Safarman