Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Negara terjejas tarif kurangkan perjalanan ke AS
  • GLOBAL

Negara terjejas tarif kurangkan perjalanan ke AS

Utusan Sarawak 2 days ago
KETUA Eksekutif laman carian hotel Trivago, Johannes Thomas memberitahu agensi berita PA bahawa pihaknya merekodkan penurunan tempahan dalam dua digit ke AS daripada pelancong Kanada, Mexico dan Jepun.

LONDON: Pelancong dari negara-negara yang paling terkesan dengan tarif perdagangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan semakin kurang memilih Amerika Syarikat sebagai destinasi pelancongan luar negara mereka, manakala pelancong dari UK dan AS pula cenderung memilih percutian domestik berikutan kebimbangan ekonomi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ketua Eksekutif laman carian hotel Trivago, Johannes Thomas memberitahu agensi berita PA bahawa pihaknya merekodkan penurunan tempahan dalam dua digit ke AS daripada pelancong Kanada, Mexico dan Jepun.

Permintaan daripada pelancong Jerman ke AS turut menunjukkan penurunan ketara, walaupun dalam kadar satu digit.

Bagaimanapun, tiada perubahan ketara dilaporkan membabitkan tempahan dari pelancong UK ke AS.

Trump mengenakan tarif ke atas lebih 180 negara, dengan Kanada dan Mexico antara yang pertama terjejas — walaupun sebahagian tarif ‘timbal balik’ itu ditangguhkan selama 90 hari susulan ketidaktentuan pasaran kewangan.

Jerman, selaku ekonomi terbesar di Eropah, dijangka menerima kesan besar akibat tarif itu khususnya dalam sektor eksport.

Thomas juga berkata bahawa pelancong Amerika juga mengurangkan perbelanjaan percutian berikutan ketidaktentuan ekonomi yang dicetuskan oleh langkah Trump mengenakan tarif lebih tinggi ke atas banyak negara.

“Jika dilihat pada pelbagai pasaran, AS cenderung lebih sensitif terhadap ketidaktentuan.

“Rakyatnya lebih terlibat dalam pasaran saham dan memiliki kadar hutang yang tinggi, menjadikan mereka lebih peka terhadap perkembangan ekonomi,” katanya.

Data tempahan di Trivago menunjukkan rakyat Amerika kini kurang berbelanja untuk percutian, dengan peningkatan permintaan terhadap hotel bajet dan kategori bertaraf rendah.

Trivago yang berpangkalan di Jerman turut mendedahkan bahawa kebimbangan ekonomi akibat perang perdagangan mendorong lebih ramai pelancong di AS dan UK memilih destinasi dalam negara masing-masing.

Data terkini menunjukkan permintaan pelancongan domestik di UK meningkat 25 peratus bagi bulan-bulan utama dari Julai hingga September berbanding tahun sebelumnya.

“Dalam situasi tidak menentu, orang ramai lebih cenderung tinggal dekat dengan rumah,” kata Thomas.

London muncul sebagai destinasi pilihan utama pelancong domestik UK, diikuti Edinburgh yang mencatat peningkatan hampir 30 peratus, disusuli York, Blackpool dan Manchester.

Namun secara keseluruhan, tempahan pelancong British kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan UK, dengan peningkatan 16 peratus dalam jumlah keseluruhan permintaan perjalanan bagi suku puncak sehingga September. — Bernama-PA Media/dpa

Continue Reading

Previous: Kami Rita Sherpa perbaharui rekod dunia daki Everest buat kali ke-31
Next: Lelaki bawa singa di jalan raya, cetus panik di Pakistan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.