
IPOH, 15 Jun -- Ketua Bernama Biro Perak, Mohd Faizal Hassan (kiri) beramah mesra bersama Julia Mohd Ali, 34, (kanan) dan suaminya, Mohamad Syamrezlan Misak, 22, (dua, kanan) selepas menyampaikan bantuan di rumah pasangan itu di Kampung Tengku Hussein, Manjoi hari ini. Pasangan tersebut memerlukan bantuan kewangan dan bekalan makanan berikutan kehilangan punca pencarian rezeki sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain perlu menanggung dua anak yang mengalami masalah kesihatan serius. Julia yang menghidap penyakit saraf belakang berkata keluarganya itu tiada punca pendapatan selepas dia jatuh sakit sejak Mac lepas manakala Mohamad Syamrezlan, buruh kontraktor sambilan tidak boleh bekerja kerana dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Manjoi pada 6 hingga 19 Jun ini. Lebih malang, mereka juga diuji apabila anak sulung hasil perkahwinan pertamanya, Nor Aiman Fitri, 16 (kiri) mengalami masalah Dislexia manakala anak bongsunya Raisha Aleeya Mohammad Syamrezlan (dua,kiri) berusia 11 bulan disahkan menghidap penyakit jantung tersumbat dan sawan sejak tiga bulan lepas. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR: Negara kerugian RM1 bilion sehari sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan pada masa ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menyifatkan keputusan melaksanakan PKP 3.0 bukan sesuatu yang mudah, beliau berkata Malaysia perlu segera keluar daripada krisis Covid-19 demi kesihatan dan kelangsungan hidup semua.
“Saya telah umumkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan PEMERKASA Tambahan bernilai RM40 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM5 bilion ringgit.
“Saya berharap bantuan daripada kerajaan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan yang terkesan,” katanya dalam perutusan khas Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP secara berperingkat yang disiarkan secara langsung, semalam.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebelum ini berkata, negara mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari semasa pelaksanaan PKP 1.0, dan berkurangan kepada RM300 juta sehari semasa PKP 2.0 berikutan lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi. – Bernama