
BANDAR SERI BEGAWAN: Negara anggota ASEAN sebulat suara bersetuju bahawa persekitaran digital haruslah selamat, terjamin, inklusif dan berdaya tahan demi melindungi hak serta kesejahteraan rakyat, sambil menekankan keperluan kerjasama yang lebih kukuh untuk menangani cabaran serantau bersama.
Komitmen itu jelas ditunjukkan menerusi penerimaan dua deklarasi utama oleh kesemua 10 negara anggota ASEAN pada Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (AMRI) ke-17 dan Mesyuarat Berkaitan yang berakhir pada Rabu.
“Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN” menerima sokongan penuh daripada blok serantau, menandakan komitmen bersama untuk membentuk persekitaran digital yang selamat, inklusif dan bertanggungjawab di seluruh rantau ini.
Deklarasi itu mewakili pendirian bersatu negara-negara ASEAN dalam mengekang penyalahgunaan media sosial sambil memperkukuh keselamatan digital dan keharmonian komuniti serantau.
AMRI turut menerima pakai “Deklarasi Bandar Seri Begawan untuk Menegaskan Semula Komitmen Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab Terhadap Maklumat bagi Kemajuan Strategik dalam Media dan Maklumat”.
Deklarasi itu menggariskan komitmen berterusan AMRI untuk mengukuhkan kerjasama dan meningkatkan peranan sektor media dan maklumat dalam Komuniti ASEAN selepas 2025.
Dalam mesyuarat itu, Malaysia turut membentangkan perkembangan terkini berkaitan “Garis Panduan ASEAN mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab”, bertujuan menyediakan strategi pragmatik untuk meningkatkan keselamatan dalam talian dan menggalakkan kesejahteraan siber dalam kalangan negara anggota.
Garis panduan itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan akan datang, menurut Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yang mengetuai delegasi Malaysia ke AMRI.
Delegasi Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (SOMRI) dipimpin oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Di luar acara, Teo dan menteri ASEAN serta pegawai kanan bertanggungjawab terhadap maklumat dan wakil daripada rakan dialog ASEAN Campur Tiga menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman pada Khamis.
Teo turut mengadakan pertemuan dua hala dengan menteri dari Brunei dan Kemboja pada Rabu, serta dengan China pada Khamis.
AMRI ke-17 dan Persidangan AMRI Campur Tiga kelapan berakhir pada Rabu, susulan Mesyuarat SOMRI ke-22 dan pertemuan dengan negara Campur Tiga serta Jepun yang diadakan pada 5 hingga 6 Mei. AMRI ke-18 dan mesyuarat berkaitan akan dianjurkan Kemboja pada 2027.– Bernama