Natasha Hudson damba watak ‘bisu’, jadikan seni seramik terapi jiwa

Facebook
WhatsApp
PELAKON dan model Natasha Hudson, 43, mendambakan watak mencabar seperti individu kurang upaya yang berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat, selain berminat menjayakan kisah biografi dan kehidupan sebenar. Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Walaupun jarang kelihatan di layar perak sejak kebelakangan ini, model dan pelakon popular Natasha Hudson tidak pernah meninggalkan dunia seni, sebaliknya kini lebih berkira-kira dalam memilih naskhah yang bersesuaian dengan fasa hidupnya.

Natasha, 43, yang kali terakhir beraksi di hadapan kamera kira-kira tiga tahun lepas, berkata fokusnya kini terbahagi antara tanggungjawab sebagai ibu kepada lima cahaya mata dan menguruskan perniagaan peribadi.

“Saya tidak pernah cakap saya meninggalkan bidang seni atau berhenti berlakon. Saya cuma cuba mengambil sesuatu pada masa yang sesuai kerana saya juga perlu membina keluarga dan kerjaya lain.

“Tahun ini, saya rasa lebih bersedia jika mahu membuat kemunculan semula menerusi filem, telefilem atau drama bersiri, tetapi perlu melihat dahulu sama ada tawaran itu bersesuaian,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran inisiatif “Empowering Every Mother’s Journey”  bersempena dengan Bulan Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2026 di sini, baru-baru ini.

Enggan terus terikat dengan watak stereotaip, bintang utama filem Chermin itu mendambakan peranan mencabar seperti individu kurang upaya yang berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

Katanya karakter yang sarat dengan emosi dan berdasarkan kisah benar lebih mampu menyentuh sanubari serta memberi inspirasi kepada masyarakat.

“Saya juga mahu membawa watak sedih yang benar-benar mampu meruntun jiwa penonton. Saya tertarik dengan filem biografi dan kisah kehidupan sebenar yang boleh memberi inspirasi serta menyentuh hati,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Natasha kini banyak menghabiskan masa di Langkawi, Kedah selepas melancarkan studio tembikarnya  sebaik tamat tempoh berpantang  anak kelimanya pada April lepas.

Beliau yang mula mendalami bidang itu sejak lima tahun lepas, kini mengendalikan kelas setiap hari, selain menghasilkan karya sendiri dan merancang mengadakan pameran seni berskala kecil tahun depan.

NATASHA Hudson bersedia kembali ke layar perak tahun ini sekiranya menerima tawaran watak yang bersesuaian, selepas lebih banyak memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaan seni seramik. Foto BERNAMA

Bagi Natasha, seni seramik bukan sekadar hobi, tetapi merupakan satu bentuk terapi jiwa yang membolehkannya meluahkan emosi dan kreativiti menerusi karya.

“Perniagaan ini lebih bersifat peribadi bagi saya dan menjadi aktiviti  dengan  anak-anak. Walaupun memakan masa, seni seramik memberikan kepuasan kerana setiap ciptaan mempunyai gaya dan identiti tersendiri,” katanya.

Beliau berkata mentor pertamanya dalam bidang itu ialah pengasas Ilham Ceramic Studio Mohammad Radzi Ismail, seorang usahawan dan artisan seramik tempatan, sebelum berguru dengan beberapa tenaga pengajar lain.

“Saya memang berniat melatih lebih ramai penduduk tempatan, mungkin sebagai pelapis atau pembantu pada masa depan,” katanya yang turut mengusahakan kelas luncur ombak dan memanah di pulau peranginan itu.

Menyentuh sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi, pelakon berdarah kacukan Melayu-Australia ini melahirkan rasa syukur yang mendalam kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia.

“Saya pernah beberapa kali cuba meninggalkan negara ini kerana merasakan mungkin ada peluang di tempat lain, tetapi akhirnya saya tetap kembali. Menjadi rakyat negara ini adalah sesuatu yang perlu kita syukuri,” katanya.- Bernama

Sultan Pahang berangkat tiba di Kuching

KUCHING: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat berangkat tiba di Terminal Orang Kenamaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching