

SIBU: Tidak dinafikan, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Nangka, Dr. Annuar Rapaee bekerja keras untuk membantu peniaga kecil di kawasannya.
Hal sedemikian ini dapat dibuktikan dengan kewujudan kiosk-kiosk kecil di sekitar kawasan kampung yang mengubah wajah aktiviti perniagaan tepi jalan di sini.
Menurut Dr. Annuar, sebanyak 30 unit kiosk Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah diagihkan kepada peniaga kecil di setiap kampung.
Paling menonjol ialah di Jalan Kampung Nangka yang menempatkan 17 buah kiosk pelangi.
Pelangi Foodkiosk Kampung Nangka ini merupakan inisiatif Dr. Annuar Rapa’ee bagi membantu meningkatkan pendapatan peniaga yang menelan belanja lebih RM242,000.
Projek tersebut juga bertujuan untuk mewujudkan kawasan penjaja terbaik di Sarawak dengan kemudahan kiosk termoden dan mesra pengguna, sekali gus menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong baharu di Sibu.
Dr. Annuar memberitahu, sebelum ini para penjaja hanya menggunakan khemah atau gerai-gerai sementara yang kurang selesa dan apabila hujan, aktiviti perniagaan mereka terganggu.
Katanya lagi, setiap kiosk juga disalurkan dengan bekalan elektrik dan air, sekali gus memudahkan para penjaja menjalankan aktiviti perniagaan mereka, sama ada pada waktu siang atau malam.
Selain itu, seramai 265 usahawan muda di DUN Nangka turut dibantu menerusi pemberian peralatan perniagaan di bawah program Bantuan Usahawan Belia Nangka.
Pada tahun 2019 sahaja, sebanyak RM611,440 sudah diperuntukkan untuk membantu usahawan kecil di Sibu, merangkumi 185 permohonan yang telah diluluskan untuk Siri-1 dan Siri-2.
Bantuan perniagaan yang turut disalurkan adalah menyediakan ruang niaga berbumbung di tempat letak kereta di Taman Selera Harmoni yang menempatkan 60 lot penjaja.
Penyandang kerusi Nangka itu menganggap ia akan menghidupkan suasana dan menarik lebih banyak pengunjung ke Taman Selera Harmoni.
Gerai-gerai peniaga yang rosak dan usang juga turut mendapat perhatian Dr. Annuar apabila beliau turut mewujudkan program ‘Baik Pulih Gerai’ di sepanjang Jalan Bandong, Kampung Nangka, Kampung Hilir dan Kampung Bahagia Jaya Teku.
Program bantuan perniagaan lain yang turut disalurkan oleh Dr. Annuar adalah Program Baucar N.55 Nangka untuk pengusaha cuci kereta yang melibatkan 600 pelanggan, naik taraf Taman Selera MUC, Medan Selera Bandong dan Taman Selera Harmoni.
Oleh NURZILLA MOHAMAD