PENYERANG pasukan kebangsaan Portugal, Cristiano Ronaldo (tengah) mengambil bahagian dalam sesi latihan
di kem latihan Cidade do Futebol di Oeiras, Lisbon, menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 menentang
Turki. • Foto AFP
HARAPAN Piala Dunia untuk dua juara Eropah terakhir berada di hujung tanduk dengan Portugal dan Itali dalam laluan pertembungan sesama sendiri dalam penentuan kelayakan penentuan pada minggu depan.
Pertembungan yang berpotensi berlangsung di Porto antara pemenang Euro 2016, yang diketuai oleh Cristiano Ronaldo dan pasukan Itali yang menggantikan mereka sebagai juara benua tahun lalu adalah prospek yang mendebarkan.
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan mesti terlebih dahulu melepasi separuh akhir esok dengan Portugal menerima kunjungan Turki dan Itali berdepan Macedonia Utara.
Kegagalan mara ke Piala Dunia tahun ini akan menjadi malapetaka buat Azzurri, yang telah layak ke setiap pusingan akhir sejak 1958 sehingga gagal pada 2018 apabila mereka tewas dalam perlawanan penentuan kepada Sweden.
Ia akan menjadi lebih luar biasa memandangkan mereka bangkit daripada itu di bawah kendalian Roberto Mancini untuk memenangi Euro 2020 dengan mencatat rekod dunia 37 perlawanan tanpa kalah.
Namun, empat keputusan seri dalam lima perlawanan kelayakan Piala Dunia terakhir mereka pada musim luruh lalu menyaksikan mereka menduduki tempat kedua dalam kumpulan di belakang Switzerland, dan kini mereka mesti sekali lagi melalui dua perlawanan bagi memastikan tempat dalam undian pada 1 April di Doha.
“Matlamat kami adalah menjulang Piala Dunia dan untuk ke arah itu kami perlu memenangi dua perlawanan ini. Tiada apa lagi yang boleh dikatakan,” kata Mancini pada Selasa.
Sementara itu, Itali menjadi tuan rumah kepada Macedonia Utara di Palermo, dan tidak mengambil mudah negara dari Balkan itu yang mempunyai dua juta penduduk.
Sebelim ini, Macedonia menewaskan Jerman di tempat lawan dalam aksi kelayakan tahun lalu sebelum muncul dalam kejohanan utama pertama di Euro 2020, selain berjaya mengikat Itali dengan keputusan seri di Turin dalam pusingan kelayakan ke Piala Dunia yang lalu.
“Kami tidak pergi ke Itali sebagai pelancong, tetapi untuk mengalahkan (mereka) dan menang,” kata jurulatih Bobi Milevski, yang menyasarkan untuk membawa Macedonia Utara.
Kapten Portugal, Ronaldo akan berusia 41 tahun pada 2026, jadi Qatar pastinya mewakili peluang terakhirnya untuk memenangi Piala Dunia. Untuk gagal layak sama sekali tidak dapat difikirkan buat penjaring terbanyak sepanjang masa dalam bola sepak antarabangsa dengan 115 gol.
“Kami tahu jalan itu tidak mudah dan kami amat menghormati lawan kami, yang mempunyai objektif yang sama seperti kami. Tetapi bersama-sama kami akan berjuang untuk membawa Portugal ke tempat kami,” tulis Ronaldo di Instagram minggu ini.
Portugal, yang menduduki ranking kelapan dunia, dua tempat di belakang Itali, mesti menewaskan Turki di Porto untuk mara ke final perlawanan penentuan, di mana mereka akan mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri.
Bagaimanapun, dua pemain pertahanan tengah pilihan utama mereka telah diketepikan — pemain Manchester City, Ruben Dias mengalami kecederaan sebelum pemain veteran berusia 39 tahun Pepe disahkan positif Covid-19. – AFP