BERBINCANG SESUATU… Dato Sri Dr. Wan Junaidi berbincang mengenai tapak projek pembinaan rumah mangsa kebakaran.
KUCHING: Nasib malang 16 penghuni yang hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran 8 Februari lalu, mendapat perhatian ahli parlimen di kawasan berkenaan.
Prihatin dengan keadaan itu, Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebanyak RM50,000 dana telah diperuntukkan bagi membina semula rumah kediaman untuk kesemua mangsa terbabit.
Katanya, rumah tersebut dirancang akan dibina secara berperingkat selain turut menggunakan kaedah secara gotong-rotong melibatkan penduduk kampung.
“Sistem gotong-royong akan mendatangkan hasil lebih baik dan lebih murah kerana ia akan melibatkan kos yang rendah termasuk kos pembelian peralatan dan pembayaran lain,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Bersama Rakyat di Kampung Tanjung Bako, di sini semalam.
Mengulas mengenai perancangan pembinaan rumah tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) terbabit menambah, ia akan dibina mengikut
reka bentuk rumah teres.
Setelah mendapat peruntukan tambahan daripada kerajaan pusat mahupun negeri nanti, baharu lah rumah tersebut akan ditambah baik demi keselesaan penghuni kediaman tersebut, katanya.
Terdahulu, ketika kejadian kira-kira 1.00 pagi itu, semua empat keluarga masing-masing berusia antara lapan bulan hingga 59 tahun yang menghuni rumah berkenaan sedang nyenyak tidur sebelum menyedari api sedang marak meranapkan rumah kediaman mereka.
Sehubungan itu, kesemua 16 mangsa kini ditempatkan sementara di Dewan Badminton Kampung Tanjung Bako di sini.
Dalam perkembangan lain katanya, penduduk kampung kini dapat menarik nafas lega apabila bakal menerima sebuah masjid baharu sekali gus memberi keselesaan untuk beribadat dan melakukan aktiviti komuniti.
Dr. Wan berkata, sejumlah RM3.6 juta peruntukan telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk pelaksanaan projek tersebut yang akan dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Kerajaan Sarawak dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
“Pelan-pelan pembangunan projek pembinaan semula Masjid Darul Abidin ini nanti akan dibentangkan kepada penduduk kampung sementara setakat ini, saya dimaklumkan kita tidak mempunyai tapak lain dan terpaksa menggunakan tapak yang sedia ada.
“Justeru saya berharap agar pihak sekolah bermurah hati untuk membantu penduduk kampung supaya membenarkan surau sekolah sebagai tempat beribadah sementara sebelum masjid disiapkan dan dapat digunakan nanti,” ujarnya.