Berasal dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia, nasi kerabu kini semakin mendapat tempat di hati penduduk tempatan di Sarawak.
Nasinya yang berwarna biru, dihidang bersama ulam-ulaman, sambal cili, ikan masin, budu, sambal kelapa, dan lauk pauk.
Ia juga boleh dimakan bersama solok lada atau enak dimakan bersama keropok goreng.
Kepelbagaian citarasa dalam satu pinggan menjadikannya satu hidangan lengkap yang mempunyai keunikannya tersendiri.
Jadi, tidak hairanlah selera dari Semenanjung ini digemari pelbagai lapisan masyarakat termasuk di Sabah dan Sarawak.
Penghijrahan penduduk dari Semenanjung ke Sarawak atas urusan kerja, perkahwinan campur atau mengikut ahli keluarga, secara tidak langsung turut membawa budaya, tradisi, dan makanan mereka ke sini.
Ini menjadi salah satu faktor nasi kerabu diperkenalkan kepada penduduk tempatan di Sarawak.
Jika dilihat, keistimewaan nasi kerabu terletak pada nasinya yang berwarna biru yang membezakannya dengan nasi berlauk yang lain.
Warna biru nasi terhasil dari kelopak bunga telang yang digunakan dalam masakan.
Bagaimanapun, terdapat pelbagai variasi nasi kerabu yang berdasarkan kepada warnanya.
Terdapat Nasi Kerabu Kuning, Nasi Kerabu Putih, Nasi Kerabu Hitam dan Nasi Kerabu Biru.
Keenakan nasi kerabu ditambah lagi dengan pilihan ulaman sebagai kerabu iaitu bunga kantan, kacang panjang, taugeh dan sayur kobis.
Namun, tidak lengkaplah hidangan nasi kerabu tanpa budu yang dijadikan penyedap rasa.
Sambal kelapa parut yang disagai garing hingga berwarna coklat dan ditumbuk lumat bersama bawang merah, lada hitam, serai, gula melaka dan garam turut menjadi pelengkap hidangan dari Pantai Timur ini.
Bagaimanapun, pengangkat selera nasi kerabu sudah tentu ada pada sambal tumisnya.
Lauk-pauk pula adalah mengikut selera si pembuat nasi kerabu sama ada dihidang bersama ayam goreng berempah, daging salai, kari ayam atau daging, ikan keli, kambing bakar dan lain-lain.
Jadi, tidak hairanlah jika nasi kerabu menjadi pilihan semua golongan masyarakat tanpa mengira asal usul.
Kini, nasi kerabu boleh didapati di seluruh Malaysia termasuklah di Sarawak yang ada dijual di pasar malam, pasar tani, gerai makanan, kedai makan dan bazar Ramadan.