
KUALA LUMPUR: Sejak mengetahui manfaat amalan pemakanan nasi beku, Nurhanisah Johari, 31, nekad mengubah rutin dapurnya dengan memasak makanan ruji itu sekali sahaja bagi kegunaan lima hari.
Perubahan yang dilakukan oleh usahawan dalam talian ini sejak tahun lepas, diakuinya bukan sahaja menjimatkan masa serta penggunaan beras, bahkan turut menyumbang kepada pemakanan keluarga yang lebih teratur dan efisien.
“Biasanya saya masak dua pot beras perang untuk suami dan dua pot beras putih untuk saya. Apabila sudah sejuk, saya akan bahagikannya masing-masing kepada lima bekas dan simpan dalam peti sejuk beku.
“Setiap hari, kami hanya akan ambil satu bekas untuk makan tengah hari,” katanya kepada Bernama, dan menambah nasi perlu disimpan dalam bekas kedap udara selain tidak boleh dibekukan bersama-sama dengan lauk atau bahan mentah lain bagi mengelakkan daripada tercemar.
Katanya, dia akan memasukkan sesudu air panas ke dalam nasi beku yang ingin dimakan, sebelum dipanaskan semula di dalam ketuhar gelombang mikro pada tetapan sederhana tinggi.
“Struktur nasi selepas dipanaskan pun masih elok, seperti nasi baru masak. Setakat ini kami tidak mengalami sebarang masalah (makan nasi yang dibekukan),” katanya.
Trend memakan nasi beku yang tampaknya kian menjadi amalan warga kota dan mereka yang bekerja, dilihat sebagai antara alternatif yang boleh dipertimbang oleh pesakit diabetes, kata Pegawai Dietetik Universiti Putra Malaysia (UPM) Jazlina Syahrul.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata perbezaan utama antara nasi beku dengan nasi segar terletak pada Indeks Glisemik (GI) iaitu petunjuk seberapa cepat makanan mengangkat paras gula dalam darah dan kandungan kanjinya.
“Nasi putih yang baru dimasak mempunyai GI sederhana tinggi. Namun kajian mendapati, apabila nasi yang telah dimasak itu disejukkan (contohnya disimpan semalaman dalam peti sejuk) dan kemudiannya dipanaskan semula, sebahagian kanji dalam nasi berubah sifat menjadi kanji rintang.
“Kanji rintang ialah serat yang tidak dapat dicerna oleh usus kecil dan akan terus ke usus besar untuk ditapai. Jadi secara ringkasnya, nasi yang mengandungi lebih banyak kanji rintang akan menaikkan paras gula dalam darah dengan lebih perlahan dan terkawal,” katanya.
Oleh yang demikian, kata Jazlina, nasi beku mempunyai kelebihan mengawal gula dalam darah, menjadikannya pilihan yang boleh dipertimbang oleh pesakit diabetes sebagai gantian kepada sebahagian nasi putih biasa.
“Nasi beku ini bukan makanan diet rendah kalori yang ajaib. Jika ingin mengawal pengambilan kalori, fokus utama masih pada jumlah nasi yang dimakan serta pilihan lauk-pauk lebih sihat. Namun, individu boleh gunakan nasi beku ini sebagai satu cara untuk tambah serat dan (cepat) kenyang,” katanya.
Walaupun nasi beku dilihat mempunyai manfaatnya, aspek keselamatan makanan juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan risiko keracunan.
Nasi beku yang dipanaskan semula tanpa teknik yang betul, menurut pakar dasar makanan UPM Dr Siti Nurhayati Khairatun, berisiko menyebabkan berlakunya keracunan makanan akibat kewujudan bakteria yang mungkin masih aktif.
“Kaedah pemanasan semula perlu menyeluruh kerana risiko utamanya ialah pembiakan bakteria yang dikenali sebagai Bacillus cereus yang dikaitkan dengan makanan berkanji. Spora Bacillus cereus wujud secara semula jadi dalam beras mentah dan boleh bertahan sepanjang proses memasak,” jelasnya.
“Jika nasi yang telah dimasak dibiarkan terlalu lama dalam suhu bilik (lebih daripada dua jam), spora tersebut boleh berkembang biak menjadi bakteria aktif dan kemudian berisiko menghasilkan toksin yang menyebabkan keracunan makanan,” tambahnya dan menegaskan proses pembekuan tidak membunuh bakteria ataupun menghentikan pengeluaran toksin yang terhasil.
Siti Nurhayati yang juga pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, berkata beberapa kaedah pencegahan boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko keracunan makanan nasi beku.
“Selepas dimasak, nasi perlu disejukkan secepat mungkin dan bahagikan kepada bahagian kecil supaya proses penyejukan lebih pantas. Nasi yang telah sejuk harus disimpan di dalam bekas kedap udara dan dibekukan segera bagi mengelakkan pembiakan bakteria.
“Seterusnya, proses nyahbeku perlu dilakukan di dalam peti sejuk, bukan pada suhu bilik. Semasa memanaskan nasi, ia perlu dikacau untuk memastikan pemanasan sekata dan nasi yang telah dipanaskan semula hendaklah dimakan serta-merta serta tidak disimpan atau dipanaskan semula untuk kali kedua,” katanya. — Bernama