Oleh Muhamad Bohari
ADA sebuah banglo besar berwarna putih. Di atas sebuah bukit kecil dikelilingi taman astakona serta tumbuh-tumbuhan menghijau. Lokasi sebenarnya banglo ini di kawasan Petra Jaya dan jauh sedikit dengan rumah-rumah penduduk lain di sana. Ada seorang nenek duduk bersama seorang anak lelaki bongsunya di banglo tersebut. Nenek Hajah Faridah Haji Jamali namanya, lebih mesra dipanggil jiran-jirannya sebagai Nek Edah. Mempunyai seramai lima orang anak, tiga lelaki dan dua orang perempuan. Anak lelaki yang sulung Abdul Rahim, yang kedua anak perempuan Siti Zulaikha, yang ketiga Mohd Zakwan diikuti Siti Balkhis dan anak bongsunya Mohd Ismail Hafiz. Anak-anak yang lain masing-masing berumah tangga dan diam di rumah mereka sendiri. Ada yang tinggal di Semenanjung Malaysia ikut suami dan ada pula yang berumah tangga di kawasan lain.
Nek Edah juga dianugerah Allah dengan dua belas cucu dan enam orang cicit. Masing-masing tinggal di rumah ibu bapa mereka dan ada pula yang sedang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah dan ada pula yang sedang menuntut di Menara Gading. Cucu belajar di luar negara ada lulus dan ada tersangkut tetapi sekurang-kurangnya ada Sijil Pelajaran Malaysia. Yang tersangkut dalam pelajaran disebabkan gelora COVID-19 selama dua tahun lebih, bermula tahun 2019. Ada cucu yang mencatatkan pelajaran yang cemerlang, yang duduk dalam tingkatan empat dan lima tahun lalu.
“Tetapi, tak apa kadaq dan takdir Allah yang menentukan,” ini yang selalu diungkapkan Nek Edah kepada cucu-cucunya. “Kalau sudah rezeki kita, ia takkan kemana-mana.” Sambung Nek Edah penuh yakin.
Nenek Edah dalam usia 79 tahun pada tanggal 13 Februari 2022. Sentiasa berpakaian kemas dan sopan, warna pakaian kegemarannya ialah jenis krim serta warna lembut sejajar dengan jiwanya seorang ibu dan juga seorang nenek. Dia selalu nampak tenang. Sentiasa berpakaian labuh berjubah panjang. Sebagai seorang insan yang sudah berusia, dia meminati berkebun bunga, salah satu hobi sejak dia muda-muda dahulu. Bunga yang paling diminatinya jenis bunga mawar termasuklah ros merah, ros kalas dan putih. Suatu pagi semasa dia di kebun bunga, dengan tidak semena-mena jari Nek Edah tercucuk duri ros merah yang dia tanam sendiri. Racun di hujung duri bersemi dalam darah, tangannya bengkak bernanah, suatu peristiwa yang tidak boleh dilupai oleh Nek Edah sehingga sekarang ini.
Perwatakan Nek Edah, dia tegas tetapi berlemah lembut dalam bertutur kata. Dia bukan cerewet tetapi seseorang yang teliti dalam melaksanakan satu-satu perkara, baik di taman bunganya, hal masakan dan mahupun hobinya menulis puisi. Puisi ditulisnya beberapa kali dibaca. Jika diyakini dan sahih betul baharulah dia membuat “final touch” sentuhan akhir. Sifat-sifat sebegini haruslah menjadi contoh oleh nenek-nenek yang lain seangkatan dengannya. Satu lagi sifat mulia Nek Edah, ialah sikap yakin diri dan berkarisma.
Suatu sikap mulianya, dia selalu mengingatkan, “Sentiasa berbuat baik pada setiap waktu, sepanjang masa. Sebab masa kita di dunia ini adalah amat singkat. Moga kita tidak lepas dari rahmat Allah, di dunia dan di akhirat kelak.”
Di samping bekebun bunga, ada lagi satu hobi dan minat Nek Edah yang harus kita banggakan iaitu dia suka menulis. Dahulu masa mudanya dia aktif menulis dalam bidang sastera iaitu genre puisi dan cerpen. Beberapa buah puisinya pernah diterbitkan serta dibukukan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak.
Rutin yang lain, Nek Edah mengaji menambah serta mendalamkan ilmuAl-Quran. Malah dia juga meminati bidang kebajikan dan sentiasa membantu saudara mara, sahabat handai dan jiran-jiran yang memerlukan bantuan. Allahyarham Ustaz Awang Joni adalah guru tempat Nek Edah mengaji ketika dia berusia 12 tahun, sementara Cikgu Safri adalah salah seorang Cikgu Bahasa yang mengajar dia dalam pelajaran Bahasa Melayu.
Nek Edah pada zahirnya nampak pendiam tetapi sebenarnya dia sering membantu jiran-jiran dalam aktiviti kemasyarakatan. Nek Edah pernah bekerja di Jabatan Kerajaan sekitar tahun 70’an dahulu dengan kelulusan yang ada padanya setakat Sijil Pelajaran Malaysia, tetapi SPM ketika dahulu bukan calang-calang boleh bersaing dengan anak-anak yang berkelulusan tingkatan enam pada masa kini.
Sifat kewanitaan serta keibuan yang lemah lembut tetapi agak tegas dalam menyatakan satu-satu keputusan dan tindakan hariannya. Terutama sekali jika dia memberi komen dan hujah-hujah dalam bidang penulisan. Dia banyak mempunyai ilmu tentang penulisan, masa dahulu banyak menghadiri bengkel-bengkel, seminar dan kursus penulisan anjuran dalam dan luar negeri. Sifat yang baik Nek Edah, ia jarang sekali meninggikan suara, justeru itu ramai rakan dan jiran suka dan meminati dia.
Nek Edah boleh diberi pengiktirafan sebagai ibu mithali, bagi seorang ibu yang mempunyai seramai lima orang anak. Semua anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dan mempunyai pekerjaan yang baik dalam jabatan kerajaan. Ini adalah hasil didikan dan bimbingan Nek Edah dengan lunas-lunas yang tepat berdasarkan panduan duniawi dan pendidikan agama dijalan yang diredhai Allah.
Satu perkara yang Nek Edah selalu berpesan dengan anak dan cucunya. “Kita mesti ada anjakan paradigma. Jangan umpama katak yang berada di bawah balang kaca.” Maksud Nek Edah di zaman serba membangun ini, zaman digital dan internet bukan lagi zaman “buku hijau” zaman pertanian dan zaman sains dan teknologi yang sudah berlalu. Zaman pesat membangun, umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Kita mesti merebut peluang dan penglibatan diri dengan aktif, jangan hanya jadi penonton setia yang tidak mahu berubah sikap.” Jelas Nek Edah lagi dengan penuh bersemangat serta meyakinkan.
Dengan berpegang prinsip dan semangat yang tidak mudah mengalah maka anak dan cucu-cucu Nek Edah berjaya ilmu untuk dunia dan juga ilmu persiapan untuk akhirat nanti. Nek Edah bersyukur dan berbangga kerana berjaya mendidik anak-anaknya tanpa suami disisinya, suaminya sudah lama kembali menemui Allah.
Diusia lewat 70’an Nek Edah banyak menghasilkan tulisan sastera terutama sekali genre puisi. Ada beratusan hasil nukilannya berjaya dibukukan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak. Di masa senggangnya, di samping bertanam bunga-bunga di taman astakona, Nek Edah suka menulis puisi tentang alam, manusia dan patriotik. Dia juga menjadi mentor kepada beberapa orang penulis baru penulis yang baharu sahaja berjinak-jinak dalam bidang puisi dan mengolah sesebuah puisi yang berkualiti. Nek Edah tidak pernah jemu membimbing serta mendidik rakan penulis yang baharu mencuba bakat menulis,salah satu puisi yang dibimbingnya bertajuk “Ibu”
“Ibu”
Engkaulah wanita paling agung untukku
sekalipun aku mandikan ibu
dengan air mawar dan kesturi
jasamu ibu tidak akan terbalas
walau kuselimutmu ibu dengan kain kapas.
Kata ibu
aku lahir di Miri
sebuah kampung bernama Pujut
sunyi dan sepi.
Ibu berlari dan berlari
bermesra dengan bumi
mencari pucuk ubi
dan ibu diasuh bertanam padi
menumbuk padi.
Hari-hari berlalu
kusedari kita di bawah koloni
hari-hari yang pilu
menjadi aku cemburu
aku jadi lebih berani
aku mula mengaji
aku pantas mengenal ayat-ayat suci.
Kini, lihatlah Miri
daerah kaya dengan minyak dan
sumber khazanah yang Allah kurniakan
menampakkan koloni meraih kekayaan.
Kini kitalah yang berkuasa
kita bina negara kita
seluruh rakyat peliharalah Miri
tanah tumpah darah ibu
jangan kau jual barang seinci.
Kini, Miri gah sebagai bandaraya
rakyat terpelihara
bersatu kita, negara kita
peliharalah dengan sempurna, salam
kasih dari ibunda.
Ilmu kepenulisan sastera sedikit sebanyak diajarnya walaupun dia hanya setakat berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia, tetapi pengalamannya menulis selama lima puluh tahun membuat dia lebih dewasa dalam bidang yang diminati dan bidang itu juga menghasilkan rezeki untuk dia dan seisi keluarga.
Nek Edah, berpesan “Pastinya, manusia yang sihat akalnya dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena dengan situasi dunia sekarang. Amalkan sepuluh ayat pertama dan ayat terakhir surah Al-Kahfi, semua perkara yang junjungan besar baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sampai dalam hadis-hadis, mudah-mudahan Allah Subhanahuwa Ta’ala selamatkan kita dari sekecil-kecil hingga ke sebesar-besar fitnah.”
Nek Edah berusia 79 tahun, lalu katanya, “Sungguh menakjubkan jika angka itu diterbalikkan, menjadi usia sampai ke 97 ditakdir lagi sihat dan aktif menulis, meskipun tidak secergas dan aktif ketika usia muda-muda dahulu.” Dengan nada menyeloroh tetapi tegas kata-kata Nek Edah.
Dia selalu memohon pada Allah, moga dianugerah kesihatan yang cemerlang agar dapatlah beribadah dan berbuat baik untuk dunia dan bekalan yang mencukupi untuk menuju ke negeri akhirat. Ujarnya lagi, ”Apapun semua rancangan yang maha hebat dan segala-gala ketentuan kurnia dari Allah wa Jalla.” Dan pesan Nek Edah Lagi, “Sentiasa berbuat baik setiap waktu, sepanjang masa sebab masa
kita hanya sementara sahaja di alam maya ini.”
Didapati beberapa buah kereta di ruang letak kereta banglo putih, kereta berflat QAU 47 warna hitam Dan QAX 2420. Tentunya ada kemudahan jika Nek Edah nak gunakan kereta tersebut, tetapi dia tidak dibenar oleh anak-anak memandu sendiri, mungkin faktor usia yang agak lanjut. Justeru anak-anaknya tidak berkeyakinan untuk menbenar ibunya memandu kereta. Nek Edah, jika hendak kemana-mana selalu menumpang anaknya itupun pada waktu anaknya ada kelapangan.
Nek Edah rasa terkilan, dia tidak sebebas seperti pada masa dahulu. Semasa keseorangan di rumah, Nek Edah imbas kembali masa lampaunya. penuh nostalgia menjadi ingatan dalam mindanya. Di mana dia berkesempatan seperti burung lepas sangkar naik bas berhawa dingin bayaran bukan lagi 7 sen tetapi dia masukkan 70 sen dalam perut mesin mengeluarkan resit, bas yang dinaikkinya berhenti di hadapan kaki masjid lama lalu dia melintasi Jalan Dockyard dan Limbungan Brooke. Dia tidak nampak kapal dalam Limbungan Brooke dan di sebelah limbungan penuh dengan dagangan dan orang berjual beli padat di kiri dan kanan dan ada saja yang teriklan semuanya ada di situ dimana satu perhentian dan kedai kopi Cina itu tetap maju.
Dari Jalan Dockyard ini, terkunang-kunang dalam ingatan Nek Edah rumah-rumah orang kampung seberang, Kampung Tanjung, Jalan Crocker Kampung Lintang, Kampung Sinjan dengan perahu tambang menunggu di Pangkalan Panjang, Pangkalan Apun akan riuh dan berkocak air Sungai Sarawak dengan orang mudik naik perahu berjual beli tetapi semuanya itu tiada lagi Nek Edah terkesima.
Lamunan Nek Edah tersentak, apabila dia tiba-tiba teringat dengan Sejarah Sarawak. Nek Edah diajar mengenai sejarah awal Negeri Sarawak. Sejarah James Brooke hingga cucu cicit Vyner Brooke. Lalu dia tidak kenal sejarah datuk moyangnya dan serta keturunannya bukan lagi jati Melayu. Sejarah juga mengajar Nek Edah tidak mengenali Dato Patinggi Ali, Abang Gafur dan Sharip Mashor dan bagaimana sebenarnya Sarawak terserah ke tangan Rajah Brooke.
Nek Edah kenal Dato Bandar, Dato Hakim dan Dato Imam daripada arwah ayahnya. Merekalah Hang Tuah yang taat kepada raja. Bapa Nek Edah becerita tentang sejarah Sarawak, Nek Edah kenal Dato Patinggi Abang Abdillah yang menolak suapan jadah dua belas ribu ringgit harga sebuah Sarawak. Dialah Hang Jebat yang durhaka kepada raja. Dia menentang pertualang si penjajah bedegis.
Masa remaja, Nek Edah belajar ke sebuah Madrasah Melayu yang lokasi pada masa kini bangunan dijadikan Muzium Islam. Nek Edah mula-mula berlajar Bahasa Inggeris di Sekolah Madrasah Melayu. Dia belajar sejarah dan sastera Inggeris.
Nek Edah merenung jauh serta mengimbau kisah-kisah lampau, seraya dia pun berkata, “Aku anak Melayu yang datang dari Sekolah Rakyat, sekolah lantai, duduk dilantai sesak dan menyedihkan di bawah rumah Pak Dahan sungguh daif di ketika itu. Tenaga pengajar sukarelawan terdiri daripada Cikgu Hassan, Cikgu Dahlan, Cikgu Hud dan Cikgu Waili. Aku belajar Bahasa Melayu menulis rumi dan jawi pada setiap hari. Berbekalkan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi, akulah anak Melayu antara seorang dua anak Melayu yang lulus “Command Entrance” peperiksaan penilaian darjah enam untuk ke Tingkatan Satu Madrasah Melayu.”
Pernah dalam salah satu nukilan puisi Nek Edah, dalam bait-bait puisi itu menegaskan.
Sumpah moyang:
“Tidak Melayu hilang di dunia”
dinilai tilik dengan sempurna
membakar semangat jasad yang ada,
wasilah wasiat nenek datuk kita
maruah bangsa mesti waspada,
Waspada kita, merdeka kita
hingga bila-bila
Walaupun Nek Edah mempunyai perwatakan wanita yang lemah lembut tetapi ia tegas tangkas dengan semangat patriotik terutama tentang semangat dan perjuang-pejuang Melayu, yang jelas dinyatakan dalam bait-bait salah satu puisinya:
Berabad lalu
di Munggu Kubur
“Melayuku bukan untuk dijual beli”
bicara Dato Patinggi Abang Haji Abdillah
“Dua belas ribu ringgit terlalu mahal
lebih mahal Sarawak dan bangsaku.”
Di Lidah Tanah
di sini, pantainya masih merah
setiap inci bumi Sarawak gusar dan gempar
Dato Patinggi Ali dibunuh
James Brooke dan pengikutnya takut,
akan pakatan Dato Patinggi dan Sharip Mashor.
Bertahun-tahun tidak siapa berani hilir mudik
kematian Dato dituntut bela,
darahnya mengalir ke setiap rongga anak Melayu
lalu, untuk sekian waktu berlalu,
kemenyan telah dibakar
air sumpah telah diminum
Rukun Tiga Belas mengikat setia
anak lelaki yang berjiwa sakti,
melangkah bagai singa berahi
menerkam ke depan barisan
pantas menikam Duncan Stewart,
bisanya tikaman itu, walau sekadar sebilah pisau
namun dendam yang mendadak
pada sumpah ikatan barisan pemuda bertindak
menyatakan kepada dunia
Melayu tidak bisa diperkuda dan dianiaya
Melayu pasti menuntut bela.
Untuk menghilangkan stress dan rutin harian, sekali sekala Nek Edah ke Damai Central dibawa oleh cucunya. Bersiar-siar menghirup udara segar di tepi pantai dengan pemandangan yang indah permai melihat Laut China Selatan yang maha luas.
Mengimbau kembali di tempat ini, Nek Edah mencerita pada cucunya, “Damai adalah nama sekarang ini tetapi masa dahulu “Telok Bandong” kawasan pinggir laut berteluk serta diliputi hutan hujan tropika yang berusia 100 tahun dan hutan tertua di rantau ini. Pada masa dahulu, jika berlaku ribut di laut para nelayan berteduh di kawasan “Telok Bandong”. Masa dahulu belum ada jalan ke pusat bandar, di tempat inilah penduduk setempat mengambil damar dan pohon geharu untuk perubatan tradisional, sekarang tempat ini merupakan tempat peranginan dan sudah ada didirikan hotel. Menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negeri melawat.”
Pada sebelah malam, di bulan Ramadan ini Nek Edah sempat solat berjemaah solat isyak dan sunat terawih di masjid kawasan perumahan dia pergi bersama anak bongsunya. Akhirnya, di bulan mulia Ramadan Al-Mubarak, Nek Edah membuat satu catatan penting, ringkas tetapi padat ke dalam dairinya:
“Sekiranya aku di takdirkan ke pusara, panggilan dari Yang Maha Esa. Aku bukan-lah seorang hartawan meninggalkan harta berkontan-kontan, pun aku tiada meninggal walau sebidang tanah untuk dibuat rumah bagi generasi anak cucu,cicitku. Aku hanya ada beberapa cebis nukilan ku tinggalkan seumpama pusaka untuk waris yang masih berada di alam maya. Aku mahu mereka membaca cerpen, puisi yang hanya ada padaku. Aku mahu mereka membaca setiap bait puisi-puisi peninggalanku yang telah diolah serta diusaha sejak aku remaja lagi. Aku mahu mereka memahami apa dia penulisan sastera, cerpen serta puisi seadanya.”
Glosari
berdegis kata cacian