Nanta tolak dakwaan Dayak dipinggirkan dalam pentadbiran Sarawak

Facebook
WhatsApp

SIBU: Dakwaan kononnya masyarakat Dayak dipinggirkan dalam pentadbiran Sarawak disifatkan sebagai naratif politik yang sengaja dimainkan untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat dan melemahkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Alexander Nanta Linggi menegaskan, masyarakat Dayak terus diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan strategik di peringkat negeri dan Persekutuan berdasarkan kelayakan.

Menurutnya, ramai anak Dayak kini menerajui syarikat berkaitan kerajaan, jabatan kerajaan, pasukan keselamatan, badan berkanun serta kementerian di peringkat Persekutuan.

“Bagaimana mungkin ada pihak mengatakan masyarakat Dayak tidak diberi tempat sedangkan begitu ramai anak Dayak memegang jawatan penting dalam pentadbiran negeri dan negara.

“Realitinya, PBB dan GPS sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap anak Sarawak yang berkelayakan akan diberi ruang berkhidmat tanpa mengira kaum,” tegasnya ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah di sini, hari ini.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit mengakui masih terdapat ruang untuk menambah baik aspek keterangkuman dalam pentadbiran supaya isu berkenaan tidak lagi dimanipulasi oleh pihak tertentu.

“Memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum bukan satu kesalahan, namun ia tidak boleh dilakukan dengan meniupkan sentimen kebencian terhadap kaum lain,” ujarnya.

Mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Nanta mengingatkan seluruh jentera parti supaya mengutamakan disiplin, kesetiaan dan perpaduan kerana kemenangan tidak dicapai melalui slogan semata-mata, sebaliknya melalui kerja berpasukan serta kepercayaan rakyat.

“Pemimpin dan ahli GPS harus sentiasa berpegang kepada pendirian gabungan itu yang kekal berkecuali terhadap perkembangan politik di Semenanjung, sebaliknya memberi tumpuan kepada agenda pembangunan Sarawak.

“Kita mempunyai agenda pembangunan Sarawak yang perlu diteruskan. Apa yang penting ialah memastikan kerajaan Persekutuan kekal stabil supaya agenda pembangunan Sarawak dapat dilaksanakan dengan lancar,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengesa seluruh ahli PBB kembali ke kawasan masing-masing dengan semangat baharu bagi memperkukuh parti, memastikan PBB terus menjadi tunjang GPS serta memperoleh mandat lebih besar pada pilihan raya akan datang.

Oleh Tarani Lanting

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman