
SONG: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Alexander Nanta Linggi mencadangkan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13) yang akan datang.
Menteri Kerja Raya itu berkata, beliau tidak bermaksud untuk membelakangkan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam mencadangkan Lidam sebagai calon.
“Semenjak menjadi wakil rakyat di sini, beliau telah melaksanakan pelbagai pembaharuan. Kita tidak lihat ada orang lain lagi jadi saya mewakili masyarakat mencadangkan Lidam untuk dicalonkan semula untuk PRN itu nanti,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Projek Siap Sistem Solar Hibrid di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bangkit, Katibas, Song hari ini.
Menurut Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit, Lidam merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan Industri dan Keusahawanan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) yang dipengerusikannya (Nanta).
Lidam memenangi kerusi Katibas pada PRN12 lalu dengan majoriti 2997 undi, menewaskan lima calon lain.
Oleh Akun Giman