
SIBU: Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengambil maklum kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Song/Sipan – Temalat pada pagi ini sehingga menyebabkan penutupan sementara terpaksa dibuat.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, kejadian ini dipercayai berlaku akibat daripada hujan lebat berterusan sejak semalam.
“Menurut maklumat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kapit, penutupan sementara dibuat bagi membolehkan pihak JKR membuat lencongan untuk membuka laluan kepada kenderaan ringan.
“Bagaimanapun, laluan untuk kenderaan berat tidak akan dibenarkan memandangkan keadaan struktur tanah di lokasi kejadian yang tidak stabil dan tidak selamat,” katanya menerusi kenyataan sebentar tadi.
Katanya, Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit juga sudah turun padang bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Asan dan Pegawai Daerah Kapit, Harry Bruce bagi memeriksa bahagian jalan yang runtuh itu.
Selain itu, katanya lagi, terdapat juga beberapa lagi kejadian tanah runtuh lain yang berlaku di Daerah Kapit dan Belaga.
“Antara kawasan terjejas ialah berhampiran simpang masuk ke Menara Pemancar TV & Radio dan Lorong 1, Taman Bian Hua, Daerah Kapit.
“Turut terjejas ialah Kilometer 34, Jalan Menjawah – Belaga dan Jalan Bakun – Belaga iaitu antara Uma Badeng Dangan / Bakun, Daerah Belaga.
“Saya difahamkan, Residen Bahagian Kapit telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kapit untuk memantau secara dekat keadaan di seluruh Daerah Kapit bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan cuaca buruk ketika ini,” katanya.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Belaga juga sudah mengambil tindakan dengan membersihkan laluan terjejas bagi membolehkan pengguna jalan raya melalui kawasan berkenaan.
“Pada masa yang sama, pihak JKR turut memasang papan tanda yang bersesuaian di lokasi kejadian.
“Saya menasihatkan semua penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan inj agar mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan masing-masing dan mengikut arahan pihak berkuasa yang bertugas,” kata beliau.
Oleh Akun Giman