SIBU: Selepas dihentikan penganjurannya akibat Covid-19 pada 2020 lalu, Nangka Challenge 2022 yang mencetus fenomena sukan di Sibu, kembali dianjurkan bermula 26 Februari ini.
Menteri Muda Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dr Annuar Rapaee berkata, sebanyak tujuh acara sukan akan dipertandingkan pada Nangka Challenge 2022 iaitu futsal, boling, badminton, bola sepak, dart, eSports dan takraw.
“Pertandingan eSports bawah 21 tahun akan diadakan pada 26 Februari ini di Dewan Suarah Sibu.
“Bagi kejohanan futsal terbuka, acara ini akan berlangsung dari 19 hingga 20 Mac, manakala kejohanan kedua dari 11 hingga 12 Jun, manakala acara bola sepak yang akan bermula 26 Februari ini akan dikendalikan oleh SDFC.
“Namun, butiran lanjut akan dimaklumkan kemudian, termasuk boling, badminton, bola sepak, dart, dan takraw,” katanya pada simbolik pelancaran Nangka Challenge 2022, semalam.
Bagi acara futsal, tarikh tutup pendaftaran adalah pada 16 Mac 2022 atau pendaftaran telah memenuhi kuota 32 kumpulan.
Nangka Challenge adalah anjuran bersama Sekretariat Sukan, Kebudayaan, Sosial dan Perpaduan Nangka bersama Kelab Bola Sepak Daerah Sibu (SDFC), Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sibu dan Pusat Khidmat Nangka.
Menurut Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Nangka Challenge berjaya menarik penyertaan lebih 2,000 belia sejak penganjuran siri pertamanya pada 2018, sebelum ditangguh pada 2020 dan 2021.
“Saya gembira acara ini kembali disambung semula, selepas dua tahun akibat pandemik Covid-19 kerana Sarawak telah memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Nasional (NRP).
“Niat utama kami adalah untuk mencungkil bakat baharu dan menjadikan Sibu sebagai pusat utama dalam sukan,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Annuar menegaskan, peserta yang mengambil bahagian dalam mana-mana tujuh sukan itu, diwajibkan mengambil ujian kendiri kit ujian pantas (RTK) Antigen, selain sudah melengkapkan vaksin sepenuhnya termasuk dos penggalak, sebagai syarat wajib menyertai mana-mana acara dalam Nangka Challenge 2022.
Untuk sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi Junaidi Ahmad (013-8122408), Bujang (016-9258367) atau Halel (013-8117850).