Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Nancy tekankan nilai kemerdekaan, hak Sarawak dan semangat perpaduan
  • TEMPATAN

Nancy tekankan nilai kemerdekaan, hak Sarawak dan semangat perpaduan

Utusan Sarawak 1 day ago
DATO Sri Nancy Shukri menyampaikan 10 bakul Rahmah kepada warga setempat sebagai simbol keprihatinan kerajaan terhadap komuniti luar bandar pada majlis penutupan Program Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Negeri di Dewan Putra, Pusat Latihan Kenegaraan Sampadi, di Lundu, hari ini.
 

LUNDU: Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia perlu menjadi platform untuk memperkukuh semangat kenegaraan serta mengingatkan rakyat tentang erti sebenar kemerdekaan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.

Beliau berkata, kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada jajahan, sebaliknya kebebasan minda dan jiwa daripada pengaruh negatif yang boleh merosakkan masyarakat serta keluarga.

“Kemerdekaan sejati lahir apabila rakyat mempunyai ilmu, berpegang pada nilai murni, dan menjaga maruah diri serta keluarga. Hanya dengan asas integriti, kasih sayang, dan kekuatan nilai kekeluargaan, Malaysia dapat terus maju sebagai sebuah negara bermaruah dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Negeri di Dewan Putra, Pusat Latihan Kenegaraan Sampadi, di sini hari ini.

Nancy menegaskan, rakyat Sarawak wajar terus menghayati makna 16 September 1963, iaitu tarikh keramat negeri itu bersama Sabah dan Semenanjung membentuk Persekutuan Malaysia sebagai rakan kongsi sama rata.

“Nenek moyang kita percaya bahawa melalui gagasan ini, Sarawak akan menikmati pembangunan dan manfaat bersama. Sebab itu penting untuk kita terus menjaga hak-hak Sarawak seperti mana yang diharapkan oleh generasi terdahulu,” ujarnya.

Menurut beliau, kekuatan Sarawak sejak dahulu terletak pada kepelbagaian kaum dan agama, namun tetap hidup dalam keharmonian. Keunikan itu, katanya, adalah sumbangan besar negeri ini kepada negara.

“Apa yang kita nikmati hari ini, perpaduan, keamanan, dan kemajuan, adalah hasil kebijaksanaan rakyat kita yang sentiasa memilih untuk saling menghormati dan bekerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy turut mernzahirkan penghargaan kepada Akademi Kenegaraan Malaysia kerana menganjurkan program jelajah berkenaan yang menurutnya penting untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat, khususnya di luar bandar.

Katanya, usaha tersebut dapat membantu generasi muda Sarawak lebih memahami sejarah, menghargai nilai perpaduan, dan bersedia mempertahankan hak negeri dalam kerangka Persekutuan Malaysia.

Program ini dianjurkan bersama Akademi Kenegaraan Malaysia dan Bahagian Kawal Selia FELDA, Jabatan Perdana Menteri.

Program dihadiri lebih 300 penduduk pelbagai latar belakang itu turut menyaksikan Nancy menyampaikan 10 bakul Rahmah kepada warga setempat sebagai simbol keprihatinan kerajaan terhadap komuniti luar bandar.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Dari Harvard ke Sarawak: Anak jati Lawas dilantik CP termuda
Next: Peranan UCA kukuhkan perpaduan, pacu kemajuan Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.