KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Nancy Shukri mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap individu yang menyamar menggunakan namanya atau mengaku sebagai pegawai beliau.
Beliau berkata, pihaknya baru-baru ini menerima maklumat mengenai seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ‘Peribadi Khas YB Nancy’ dan menghubungi sebuah NGO yang aktif dalam kerja kesukarelawanan.
Menurutnya, individu terbabit meminta NGO berkenaan menyediakan kertas kerja dan mendakwa dokumen itu perlu melalui beliau terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada Nancy.
“Lebih membimbangkan, individu berkenaan turut meminta wakil NGO yang merupakan seorang wanita untuk berjumpa secara peribadi dengannya di dalam kenderaan.

“Saya bersyukur kesedaran masyarakat terhadap isu gangguan seksual semakin meningkat apabila wakil NGO berkenaan mengambil langkah berhati-hati dan meminta agar sebarang pertemuan dibuat di tempat terbuka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Nancy turut menegaskan bahawa tiada kakitangan atau bekas kakitangannya yang berama ‘Noor Akmal’.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya sekiranya menerima panggilan atau mesej daripada individu yang mengaku sebagai pegawai, kakitangan atau wakil beliau.
Sebarang pengesahan boleh dibuat terus melalui Pejabat Nancy di talian 012-5075861 bagi memastikan urusan rasmi dilakukan melalui saluran yang betul.
Oleh Shikin Mahmud



