LUNDU: Calon GPS-PBB Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri meneruskan jerayawara hari ketujuh untuk memenangi hati rakyat di kawasannya di Tanjong Datu hari ini.
Beliau mengambil kesempatan menemui seramai mungkin penduduk kerana ia kawasan baharu ditandinginya setelah berpindah dari kerusi Parlimen Batang Sadong.
Beliau berpeluang bersama penduduk di sini dari pukul 9 pagi.
“Semangat juang mereka adalah kekuatan inspirasi kamek. Haritok kamek berpeluang bersama dengan anakanda, ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar bersama dengan jentera Parti GPS ranting Kampung Sempadi, Lundu dalam Program Bersama Pemimpin,” katanya.
Nancy turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir memberi sokongan dan solidariti kepadanya dalam usaha untuk mengekalkan Parlimen P193 Santubong ini sebagai kubu kuat GPS.
“InsyaAllah, dengan semangat yang kitak tunjukkan semua tok, kamek percaya bahawa kekuatan dan kerjasama kita semua mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.
Pada hari ini, jerayawara Dato’ Sri Nancy bermula dengan program Cintailah Sungai Kita anjuran Pemuda PBB Kampung Belia (Belia Kampung Sempadi /Beruan) di Dewan Masyarakat Sempadi, selepas itu Program Bersama Pemimpin (Zon Sempadi) di Dewan Masyarakat Sempadi.
Dalam pada itu, pada sebelah petang beliau hadir untuk Program Bersama Pemimpin Zon Sematan di Dewan Chung Hua Sematan, jerayawara di Pasar Sematan dan Santai di Rumah Panjang Pueh di Kampung Sebat Baru, Sebat Melayu, Sebat Dayak dan Kampung Pueh.
Selain itu, untuk sebelah malam, beliau menunaikan solat berjemaah di Masjid Kampung Sekambal.
Oleh NUR AIN OTSMAN