Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Nancy: DET, Job Coach perkukuh akses OKU ke dunia pekerjaan
  • TEMPATAN

Nancy: DET, Job Coach perkukuh akses OKU ke dunia pekerjaan

Utusan Sarawak 10 hours ago
DATO’ Sri Nancy Shukri berucap merasmikan Seminar DET & Program Job Coach 2025, memperkasakan OKU di Sarawak.

SANTUBONG: Seminar Latihan Kesaksamaan OKU (DET) dan Program Perkhidmatan Job Coach 2025 menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai isu ketidakupayaan serta usaha membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, program seperti ini wajar diperluaskan bagi memastikan OKU tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

“DET memberi perspektif baharu bahawa cabaran sebenar bukan pada individu OKU, tetapi pada sikap, struktur dan persekitaran yang tidak responsif. Apabila kita mengubah cara melihat, kita mengubah cara bertindak,” katanya ketika merasmikan seminar berkenaan di Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak, hari ini.

DATO’ Sri Nancy Shukri merasmikan DET & Program Job Coach 2025.

Beliau berkata sejak 2010 hingga 2024, seramai 7,426 peserta mengikuti latihan DET, manakala Program Job Coach berjaya membimbing 976 OKU bekerja dengan 664 majikan di seluruh negara dengan satu pencapaian yang menurutnya wajar dibanggakan.

Di Sarawak sahaja, setakat Oktober 2025, 3,477 penerima menerima Elaun Pekerja OKU (EPOKU) melibatkan peruntukan RM15.28 juta.

Namun katanya, penggunaan perkhidmatan Job Coach masih rendah, sebahagian besarnya disebabkan kurang pendedahan.

“Melalui program hari ini, saya berharap liputan media dapat membantu meningkatkan kesedaran supaya lebih ramai majikan tampil bekerjasama menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU,” ujarnya.

Nancy turut menegaskan bahawa usaha memperkasa OKU memerlukan kolaborasi menyeluruh melibatkan kementerian, agensi kerajaan, majikan, NGO, komuniti serta keluarga.

Beliau menambah, selain membangunkan OKU, masyarakat juga perlu memastikan kanak-kanak tidak dieksploitasi atau didedahkan kepada perkara negatif, termasuk digunakan sebagai alat politik atau konten media sosial.

Setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan, latihan, pekerjaan dan kemudahan asas tanpa halangan serta bimbingan positif agar mereka berkembang menjadi individu matang dan bertanggungjawab.

RAKAM kenangan bersama Dato’ Sri Nancy Shukri sempena Seminar DET & Program Job Coach 2025.

“Prinsipnya mudah: tiada sesiapa harus tertinggal daripada arus pembangunan negara. Pendidikan dan peluang pekerjaan untuk OKU atau golongan muda mesti seiring dengan perlindungan dan kesejahteraan mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan Belanjawan 2026 memperuntukkan hampir RM1.4 bilion bagi bantuan berkaitan OKU, termasuk bantuan penjagaan, elaun ketidakupayaan bekerja dan Elaun Pekerja OKU.

Turut disediakan ialah inisiatif pekerjaan KESUMA, Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU (SBGP-OKU), serta bantuan kewangan KPT kepada pelajar OKU di institusi pengajian tinggi.

Mengakhiri ucapannya, Nancy merakamkan penghargaan kepada JKM Sarawak, JPOKU, Perkeso, KPM, NGO serta semua agensi yang menjadi rakan strategik program.

“Dengan usaha bersama, kita mampu membina masyarakat lebih inklusif dan memastikan OKU bukan sekadar dibantu, tetapi diberdaya untuk berdiri dengan keyakinan,” tambah beliau.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Tun Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah luangkan masa di Sepinang Sari Café
Next: ‘Keladi bunting’ kini jadi sumber pendapatan baharu penduduk Dalat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.