
PETRAJAYA: Kerajaan akan menyelaras usaha mempercepatkan pembinaan semula rumah mangsa kebakaran yang memusnahkan dua rumah setingkat jenis kekal di Pusat Makanan Laut Buntal, Jalan Kampung Buntal, semalam.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, perbincangan bersama pelbagai agensi termasuk Pejabat Pembangunan Negeri (SDO), pejabat daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan dilaksanakan bagi memudahkan proses bantuan kepada mangsa terlibat.
Menurutnya, kejadian kebakaran yang berlaku dengan pantas itu menyebabkan rumah mangsa musnah sepenuhnya, sekali gus memerlukan tindakan segera daripada pihak berkaitan.
“Pada hari ini kita hadir bersama pelbagai agensi seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis, JKM dan Yayasan Kebajikan Negara untuk mencari jalan memudahkan urusan mangsa.
“Kita juga telah menyerahkan bantuan tunai daripada beberapa agensi berjumlah hampir RM5,000 bagi membantu keperluan segera mereka,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa kebakaran di Kampung Bako, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan turut menawarkan penempatan sementara di dewan yang baharu siap dibina, namun setakat ini mangsa memilih untuk tinggal bersama saudara terdekat.

Dalam pada itu, Nancy menjelaskan pembinaan semula rumah mangsa akan dilaksanakan melalui kaedah bantuan bencana dan bukan di bawah projek Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), memandangkan rumah berkenaan dibina di atas tanah milik sendiri.
“Kita akan berbincang secara terperinci dari segi teknikal untuk mempercepatkan proses pembinaan semula rumah mereka.
“Ini baharu sahaja berlaku malam tadi, jadi kita akan segera menyelaras bantuan yang bersesuaian supaya mangsa dapat kembali ke kediaman masing-masing secepat mungkin,” ujarnya.
Sementara itu, dalam kejadian sekitar 3.14 petang semalam, dua rumah konkrit musnah dalam kebakaran, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Oleh Shahrul Qaizat