Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Nancy: 9,058 PPS sedia hadapi Monsun Timur Laut
  • TEMPATAN

Nancy: 9,058 PPS sedia hadapi Monsun Timur Laut

Utusan Sarawak 2 days ago
DATO’ Sri Nancy Shukri berucap pada Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan PPS di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, menegaskan bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana perlu menjadi budaya dalam kalangan masyarakat bagi memastikan tindakan bantuan dan pemindahan mangsa dapat dilakukan dengan pantas serta teratur.

Beliau berkata, pengalaman bencana di Sabah, Baram dan beberapa kawasan di Sarawak sebelum ini membuktikan pentingnya latihan bersepadu dan penyelarasan antara agensi di semua peringkat.

“Latihan seperti ini amat penting kerana bencana datang tanpa diduga. Kita telah belajar daripada pengalaman sebelum ini, sebab itu pengurusan PPS dan simulasi pengendalian mangsa perlu diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta Kempen Pendaftaran Awal Mangsa Bencana melalui Sistem InfoBencana JKM Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Dewan Serbaguna Wisma Kebajikan, di sini, hari ini.

DATO’ Sri Nancy Shukri menyampaikan cenderahati kepada wakil agensi sempena Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan PPS di Petra Jaya, hari ini.

Menurut beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berperanan sebagai tulang belakang dalam operasi PPS, termasuk mengurus penempatan, penyediaan makanan, pakaian, khidmat kaunseling dan sokongan psikologi kepada mangsa bencana.

“Peranan ini tidak mudah, tetapi amat penting dalam memulihkan semangat mereka yang terjejas. Kita mahu mangsa rasa selamat dan dijaga dengan penuh empati,” ujarnya.

Mengulas lanjut ketika ditemui media selepas majlis itu, Dato’ Sri Nancy berkata, sebanyak 9,058 PPS kini telah didaftarkan di seluruh negara dengan kapasiti keseluruhan 31.1 juta mangsa, termasuk kemudahan mesra wanita dan kanak-kanak seperti bilik menyusu serta ruang kaunseling.

“Petugas juga diingatkan supaya sentiasa peka terhadap keselamatan penghuni PPS. Kadang-kadang ada kes terpencil seperti gangguan seksual semasa bencana. Ini semua perlu diberi perhatian serius,” tegasnya.

DATO’ Sri Nancy Shukri bergambar bersama peserta program di Petra Jaya, hari ini.

Beliau berkata, kesiapsiagaan JKM kini semakin kukuh berikutan penggunaan sistem digital MyIBJKM, yang membolehkan bantuan kewangan disalurkan hanya dalam masa lima minit, berbanding 30 minit sebelum ini.

“Kalau data mangsa sudah lengkap dan didaftarkan, bantuan boleh sampai lebih cepat. Itulah hasil pendigitalan yang kita perkenalkan,” jelasnya.

Beliau turut menggesa supaya Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) menjadi penghubung utama antara penduduk dan agensi kerajaan bagi melaporkan kawasan berisiko serta keperluan segera seperti pembaikan parit dan bekalan air bersih.

“Sekarang banyak kawasan sudah ada sistem perparitan baik, tetapi tidak bermakna kita boleh abaikan yang lain. Komunikasi rapat antara masyarakat dan jabatan amat penting supaya bantuan dapat disalurkan cepat,” katanya.

Beliau menambah, dengan jangkaan Monsun Timur Laut bermula penghujung November ini, JKM bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan kerjasama agensi lain di bawah penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (JPBN).

“Bila monsun besar datang, bukan JKM saja yang bergerak namun agensi lain pun bantu. Kadangkala kawasan yang tidak terjejas akan turun membantu daerah yang parah,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: PETRA hargai media sebagai rakan strategik pembangunan negara
Next: Ibu kandung dicari untuk pastikan hak dan keselamatan bayi terjamin – JKM Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.