
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan melibatkan penyanyi rap Wee Meng Chee atau Namewee dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Kuala Lumpur hari ini, dan akan dirujuk sekali lagi selepas laporan penuh bedah siasat mangsa diperoleh.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata Namewee dibebaskan dengan jaminan polis hari ini sehingga 26 November sementara menunggu laporan bedah siasat lengkap.
“Setelah kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (Kuala Lumpur) hari ini, Namewee akan dibebaskan dengan jaminan polis sehingga 26 November sementara menunggu laporan bedah siasat mangsa diperolehi.
“Kertas siasatan akan dirujuk semula ke pejabat PPN Kuala Lumpur setelah laporan bedah siasat diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata siasatan terhadap kematian pempengaruh Taiwan Hsieh Yun Hsin, 33, masih diteruskan dan arahan siasatan lanjut telah dikeluarkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata setakat ini tiada sebarang petunjuk mengaitkan Namewee dengan punca kematian wanita itu yang ditemukan dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay pada 22 Oktober.
Namewee direman pada 5 November dan tempoh reman berakhir hari ini.
-Bernama