
SIBU: Nam Cheong Limited menyifatkan penganugerahan The Edge Singapore Centurion Club Awards 2025 sebagai bukti kekuatan dan ketahanan syarikat itu selepas melalui tempoh mencabar susulan kejatuhan harga minyak pada 2014.
Anugerah bagi kategori Pertumbuhan Tertinggi Keuntungan Selepas Cukai dalam sektor perindustrian ini mengiktiraf syarikat tersenarai di SGX dengan modal pasaran antara AS$100 juta hingga AS$999 juta berdasarkan prestasi kewangan tiga tahun terakhir.
Pengasas Kumpulan Syarikat S.K.Tiong, Tan Sri Datuk Tiong Su Kouk, berkata pengiktirafan itu mengesahkan kedudukan Nam Cheong yang kini lebih kukuh, stabil, dan berdaya saing.
Beliau menjelaskan bahawa Nam Cheong pernah menjadi antara pembina Offshore Support Vessel (OSV) terbesar di dunia dengan modal pasaran melebihi satu bilion dolar Singapura, namun krisis harga minyak memberi kesan besar kepada operasi syarikat.
“Kami memilih untuk bertahan, bangkit dan menyesuaikan semula model perniagaan kami. Saya melaburkan RM50 juta untuk menyelamatkan syarikat dan menambah lagi RM30 juta apabila ia masih tidak mencukupi,” katanya.
Dengan penstrukturan semula, Nam Cheong menukar strategi kepada perniagaan penyewaan kapal, membina semula kedudukan sebagai pemain utama dalam sektor luar pesisir.
Hari ini, syarikat mengendalikan 38 kapal OSV, menjadikannya armada OSV terbesar dan termuda di Malaysia serta antara penyedia utama OSV di Asia Tenggara untuk sektor minyak, gas, dan tenaga boleh diperbaharui. Sekitar 60 peratus armada syarikat berada dalam kontrak jangka panjang melebihi tiga tahun, menjamin aliran pendapatan mampan.
Sejak ditubuhkan pada 1960-an sebagai pembina bot nelayan kecil, Nam Cheong kini berkembang menjadi penyedia penyelesaian luar pesisir terkemuka di Asia, Timur Tengah, Eropah, Afrika, dan Amerika Latin, dengan lebih 150 kapal diserahkan ke seluruh dunia.
“Kami berjaya mengurangkan hutang, mengukuhkan imbangan kewangan dan kembali mencatat keuntungan kukuh. Melangkah ke hadapan, kami akan terus menyumbang kepada masa depan tenaga luar pesisir Sarawak dan Malaysia,” katanya.
Oleh Akun Giman