IPOH: Naluri hati seorang ibu tunggal yang berasakan seolah-olah perkara buruk akan berlaku benar-benar menjadi kenyataan dan bagaikan mimpi buruk apabila sebahagian bumbung rumahnya di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Chepor Dalam di sini diterbangkan angin dalam kejadian ribut petir petang semalam.
Nor Hasneza Mohd Razali, 39, berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.00 petang itu, beliau sempat melaungkan azan kerana ketakutan, namun tidak dapat menyelamatkan barangan rumah.
“Saya tak sempat menyelamatkan perabot serta barangan elektrik yang kebanyakannya sekarang sudah rosak,” katanya di sini, semalam.
Nor Hasneza yang tidak bekerja dan mempunyai empat anak berusia 11 hingga 19 tahun merupakan antara dua keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Surau Al Hidayah RPT Chepor sebelum dipindahkan ke sebuah inap desa petang semalam.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Afifi Zulkefli, 35, hanya sempat menyelamatkan bapa mentua yang merupakan orang kurang upaya (OKU) serta empat anak keluar dari rumah apabila melihat kesemua bumbung rumah diterbangkan angin dalam kejadian ribut itu yang berlaku terlalu pantas.
Mohd Afifi berkata semasa kejadian dia bersama anak-anaknya dan bapa mentuanya, Mohamad Nawawi Abidin, 64, berehat di ruang tamu manakala isterinya Norashimah Mohamad Nawawi, 32, sedang menyiapkan juadah berbuka puasa di dapur.
“Tidak sempat selamatkan perabot dan barangan elektrik kerana pada masa itu saya hanya fikirkan keselamatan keluarga saya sahaja. Kejadian berlaku sangat pantas, kira-kira 10 minit. Saya perlu melakukan pendawaian elektrik baharu,” katanya yang bekerja sebagai kontraktor pembersihan.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kinta Halizah Sipun berkata, sebanyak 362 rumah di Mukim Ulu Kinta terjejas akibat ribut petir semalam melibatkan Taman Klebang Jaya (120); Kampung Sri Klebang (91 rumah); RPT Chepor Dalam (86) dan Taman Bertuah (65).
“Daripada jumlah itu hanya ada dua rumah melibatkan dua keluarga berpindah dan mereka ditempatkan sementara di inap desa,” katanya ketika dihubungi.
Halizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah berkata Pejabat Daerah dan Tanah Kinta akan menguruskan bantuan Wang Ihsan Bencana kepada penduduk terlibat setelah memperoleh semua dokumen yang diperlukan.
Sementara itu, semakan di laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia mendapati ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Perak petang ini.
Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam serta laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.- -BERNAMA