SIBURAN: “Abang Jo, jangan lupa kita bekerjasama untuk Malaysia.” Itu kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.
Ia kemudian dibalas oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan kata-kata berbunyi: “Insya-Allah kerana apa yang Sarawak mahu ialah mempunyai Kerajaan Persekutuan yang stabil untuk membangunkan Malaysia.”
Perbualaan itu berlaku pada satu majlis di Selangau, semalam.
Kemudian Abang Johari bertanya balik: “Kalau nak jadi PM, ingat Sarawak, berikan apa yang dimahukan oleh rakyat Sarawak’ dan dibalas oleh Perdana Menteri dengan kata ‘InsyaAllah’.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu mengimbas kembali perbualan berkenaan apabila berucap pada majlis perasmian pembukaan Sukan Mini di Stadium SRB Chung Hua Siburan, Jalan Kuching Serian, petang tadi.
Semalam Ismail Sabri dan Abang Johari hadir pada majlis perasmian Lebuh Raya Pan Borneo bagi Seksyen Pakej Kerja Kontrak 8 (WPC8) Selangau dan penyerahan Peranti Siswa.
Menurut Abang Johari, GPS akan berdiri di belakang sesiapa sahaja yang boleh membentuk kerajaan yang stabil.
Dalam ucapan itu juga, beliau menekankan mengenai pentingya ilmu pendidikan di Sarawak.
“Sebab itu, saya tubuhkan kementerian pendidikan sendiri iaitu Kementerian Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak dibawah Datuk Roland Sagah.
“Pendidikan kita menyeluruh sebab itu pendidikan kita tidak sama seperti di Semenanjung.
“Kita hendak melihat potensi pembangunan bakat anak-anak di Sarawak dan kita beri hala tuju yang sejajar dengan pembangunan dunia,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM10 juta untuk sekolah aliran Cina di seluruh negeri.
Pada majlis itu, seramai 30 pelajar SRB Chung Huan Siburan menerima media pad sumbangan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).
Oleh AZREEN KERIA