

KUALA LUMPUR: Dua bekas Perdana Menteri kongsikan kenangan yang pernah mereka lalui bersama Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, terutama ketika masing-masing berkhidmat bawah pentadbiran Perdana Menteri kelima itu.
Menyifatkan Allahyarham sebagai seorang sahabat, Datuk Seri Najib Razak mengingati Abdullah yang mesra dengan panggilan ‘Pak Lah’, sebagai seorang guru dan pemimpin yang sentiasa memberikan nasihat serta tunjuk ajar kepadanya.
Bukan itu saja, Najib turut mengagumi kepimpinan Allahyarham yang berteraskan akauntabiliti dan juga mengutamakan kecemerlangan sama ada dalam politik mahupun pentadbiran.
“Bersandarkan kepada semangat dan prinsipnya itu juga yang menjadi antara beberapa faktor mendorong kepada lahirnya prinsip pentadbiran ‘1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.’
“Secara peribadi, Pak Lah amat rapat dengan kami sekeluarga. Bagaikan abang dan teman rapat ketika susah dan senang.
“Pak Lah akan sentiasa dikenang dengan sumbangannya kepada agama, bangsa dan negara. Seorang insan yang mulia.
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Pak Lah dan rakan-rakan,” katanya dalam catatan melalui Facebook.
Najib memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri bawah pentadbiran Abdullah dari 7 Januari 2004 hingga 3 April 2009, sebelum menjadi Perdana Menteri keenam.
Sementara itu bagi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Allahyarham dianggap sebagai ‘seorang bapa’ yang memimpin dan membimbing beliau dalam politik serta pentadbiran kerajaan, hingga mencapai ke kemuncaknya.
“Saya banyak terhutang budi dengan Allahyarham. Allahyarham Pak Lah yang memberi kepercayaan kepada saya untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen Bera pada 2004 dan seterusnya mengangkat saya sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 2008.
“Negara berduka atas kehilangan ini. Seorang negarawan yang mengabdikan dirinya untuk agama, bangsa dan tanah air. Seluruh rakyat, khususnya saya secara peribadi, amat menghargai jasa Allahyarham,” kata Perdana Menteri kesembilan itu dalam catatan melalui Facebook. – Bernama.