Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Najib akan bela diri kes berprofil tinggi 1MDB pada 2 Disember
  • JENAYAH

Najib akan bela diri kes berprofil tinggi 1MDB pada 2 Disember

Utusan Sarawak 6 months ago
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Mahkamah Tinggi hari ini menjadi tumpuan orang ramai yang ingin mengetahui keputusan kes berprofil tinggi membabitkan Najib yang menghadapi pertuduhan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Najib, 71, akan mengetahui sama ada beliau diperintahkan membela diri atau dibebaskan daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 2 Disember bagi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membela diri atas semua 25 pertuduhan dalam kes berprofil tinggi membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan) menetapkan 97 hari untuk mendengar kes pembelaan bermula dari 2 Disember hingga 7 November tahun depan.

Terdahulu dalam keputusannya, Hakim Sequerah mengarahkan Najib, 71, untuk membela diri atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu bagi kesemua 25 pertuduhan di akhir kes pendakwaan.

“Mahkamah memerintahkan tertuduh untuk membela diri terhadap semua pertuduhan,” kata hakim tersebut.

Hakim Sequerah kemudian meminta jurubahasa mahkamah untuk menerangkan kepada Najib bahawa beliau mempunyai tiga pilihan – memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi, memberikan keterangan tanpa sumpah dari kandang tertuduh atau berdiam diri.

Dengan memberikan keterangan bersumpah, tertuduh akan dikenakan soal balas oleh pihak pendakwaan, manakala dengan keterangan tidak bersumpah, mahkamah perlu mempertimbangkan kenyataan tersebut dan menilai berat keterangan yang tidak akan dikenakan soal balas.

Tiada keterangan akan dikemukakan oleh tertuduh dalam pembelaannya apabila tertuduh memilih untuk berdiam diri.

Najib yang berpakaian sut biru gelap, kelihatan tenang di kandang tertuduh ketika hakim membacakan keputusan, dan menyatakan beliau memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib meminta pihak pembelaan untuk menyediakan kenyataan saksi dan mengemukakannya sebelum perbicaraan disambung semula.

Najib, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 14 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bekas menteri kewangan itu berhadapan dengan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda sama ada lima kali ganda nilai terbabit atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Susulan sabitan beliau, bekas Ahli Parlimen Pekan itu mengemukakan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022, yang membawa kepada pengurangan hukuman penjara dari 12 tahun kepada enam tahun, dan denda dari RM210 juta kepada RM50 juta. – Bernama

Tags: Jenayah & Mahkamah

Continue Reading

Previous: Kronologi kes 1MDB dihadapi Najib
Next: Perbicaraan Kes 1MDB: Pasukan pembelaan Najib akan panggil 11 saksi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.