
BINTULU: Kemudahan sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu dinaik taraf bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal, tetapi bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk pelajar dan guru.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pertambahan jumlah pelajar di kawasan bandar setiap tahun menuntut penambahbaikan segera terhadap kemudahan asas sekolah, termasuk laluan berbumbung, kawasan menunggu dan ruang pembelajaran yang lebih tersusun.
“Kita tidak mahu murid dan ibu bapa terpaksa menunggu di bawah panas terik atau hujan setiap hari. Beberapa sekolah kini menampung lebih 1,000 pelajar, dan ada yang mencecah sehingga 1,300 pelajar. Maka, kemudahan yang lebih baik amat diperlukan untuk keselesaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Siong Boon di sini, hari ini.
Menurut Johnny Pang, kerja naik taraf berkenaan dilaksanakan melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang memberi tumpuan kepada penyelenggaraan serta penambahbaikan kemudahan asas pendidikan.
Tambahnya, projek tersebut juga mengambil kira aspek keselamatan warga sekolah dan ibu bapa, terutama ketika waktu puncak ketibaan dan kepulangan pelajar.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya melalui rondaan berkala dan sesi libat urus bersama pihak sekolah dalam usaha mencegah kes buli serta salah laku pelajar.
“Pemantauan pihak polis di sekolah amat penting agar pelajar tahu mereka sentiasa dilindungi, di samping menanam rasa hormat terhadap undang-undang.
“Saya telah berbincang dengan Ketua Polis Daerah supaya rondaan dilakukan tanpa makluman awal untuk mendidik pelajar lebih berdisiplin,” ujarnya.
Kehadiran pihak polis, katanya, bukan sahaja memperkukuh aspek keselamatan, malah membantu membentuk suasana sekolah yang berhemah, harmoni dan kondusif untuk pembelajaran.
Oleh Carolyne Utih