
BINTULU: Usaha menaik taraf sistem perparitan di Kampung Banyai, Jalan Ulu Segan dijangka memberikan kelegaan kepada hampir 200 penduduk yang sering berdepan masalah banjir, khususnya ketika musim tengkujuh dan fenomena air pasang besar atau ‘king tide’.
Projek yang melibatkan peruntukan kira-kira RM200,000 itu merangkumi pembinaan dua culvert baharu serta kerja penggalian semula parit yang menghala ke Sungai Segan termasuk penyediaan tiga saluran keluar air untuk memastikan aliran air keluar lebih teratur.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, penambahbaikan itu merupakan langkah penting bagi meningkatkan keupayaan sistem saliran di kawasan kampung berkenaan yang telah lama berdepan masalah limpahan air.
“Insya-Allah, pelaksanaan projek ini dapat mengurangkan masalah banjir yang sering dialami penduduk Kampung Banyai.
“Dua culvert baharu akan dibina, manakala parit sedia ada digali semula bagi memastikan aliran air lebih lancar terus ke Sungai Segan melalui tiga saluran keluar air baharu.
“Saya berharap usaha ini memberi keselesaan kepada penduduk selepas sekian lama berdepan isu berulang,” katanya ketika ditemui media selepas menyerahkan dokumen projek kepada pihak konktraktor di kampung berkenaan hari ini.

Menurut Iskandar, projek tersebut juga selari dengan penekanan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg supaya wakil rakyat terus turun padang, menyantuni masyarakat dan memastikan setiap aduan rakyat diberi perhatian segera.
“Terima kasih kepada Premier Sarawak kerana melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), projek seperti ini dapat dilaksanakan demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih