
MIRI: Masalah banjir kilat yang sering melanda penduduk di Jalan Piasau Utara 1B dijangka dapat diatasi menerusi projek naik taraf sistem perparitan sepanjang lebih 200 meter yang sedang dilaksanakan di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang, turun padang baru-baru ini bagi meninjau perkembangan projek tersebut serta berinteraksi dengan penduduk setempat untuk mendengar pandangan dan aduan mereka
Menurut beliau, isu limpahan air akibat sistem perparitan yang tidak mencukupi telah dibawa ke perhatian Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) sebaik menerima aduan penduduk.
“Hasil kerjasama pantas dengan DID, projek ini dapat dimulakan dalam tempoh singkat. Masalah rakyat sentiasa menjadi keutamaan saya,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan akan terus memantau pelaksanaan projek agar ia siap mengikut jadual dan mencapai kualiti yang ditetapkan
“Saya mahu penduduk benar-benar merasai manfaat daripada projek ini dan tidak lagi dibelenggu kebimbangan setiap kali hujan lebat,” tambahnya.
Penduduk setempat melahirkan rasa lega dan bersyukur dengan inisiatif itu kerana sebelum ini, kawasan tersebut sering dinaiki air sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan rumah dan harta benda.
Mereka kini yakin keadaan akan bertambah baik sebaik sahaja projek siap sepenuhnya.
Projek itu dijangka dapat mengurangkan risiko banjir kilat secara berkesan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan selesa untuk komuniti setempat.
Oleh Adum Liu