
SIBU: Projek naik taraf Loji Rawatan Air Salim-Sibu bernilai RM291 juta kini mencatat kemajuan sebanyak 17.96 peratus, mendahului jadual asal sebanyak 6.45 peratus sejak dimulakan pada Mei tahun lalu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek tersebut akan menggandakan kapasiti loji daripada 150 juta liter sehari (MLD) kepada 300 MLD apabila siap kelak.
“Ini akan menyumbang margin simpanan air sebanyak 30 peratus untuk bandar Sibu dan kawasan sekitarnya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek di Muka Sauk, Lembaga Air Sibu (LAS), Jalan Stabau, di sini, hari ini.
Beliau berkata, projek tersebut yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak melibatkan kos kontrak berjumlah RM269 juta dan merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Bekalan Air Sarawak serta pelaksanaan sistem grid air negeri yang akan menghubungkan semua loji rawatan air di Sarawak.
“Kita jangka ia dapat disiapkan seperti yang dirancang dan mampu membekalkan air bersih kepada 350,000 penduduk di kawasan Sibu,” ujarnya.
Sementara itu, Julaihi turut menyatakan bahawa Sibu kini bergantung kepada dua loji utama iaitu Loji Rawatan Air Salim (150 MLD) dan Bukit Lima (45 MLD), dengan jumlah kapasiti 195 MLD, manakala permintaan harian mencecah 200 MLD, menyebabkan loji sedia ada beroperasi melebihi kapasiti.
Bagi menangani isu itu, katanya, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion bagi projek penggantian dan naik taraf paip lama melibatkan 2,740 kilometer paip air di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun, dengan RM170 juta diperuntukkan khusus untuk Bahagian Sibu.
Julaihi turut memaklumkan sistem bekalan air tambahan di Sungai Sadit kini telah siap dan akan membantu menambah margin simpanan air bagi kawasan ini.
“Ini bukan penyelesaian semalaman tetapi merupakan pelan jangka panjang yang sedang dilaksanakan melalui pelan induk dan sistem grid air Sarawak,” katanya.
Sementara itu, LAS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa projek tersebut merangkumi naik taraf pengambilan air mentah Fasa 2 daripada 150 MLD kepada 300 MLD, pembinaan saluran paip air mentah sepanjang 8 kilometer, naik taraf Loji Rawatan Air Salim, pengubahsuaian komponen sedia ada serta pembinaan saluran paip air terawat sepanjang 4 kilometer.
“Projek ini dilaksanakan oleh Perbena Emas Sdn Bhd yang dianugerahkan melalui tender terbuka dengan nilai kontrak RM269,099,341.13 dan dijadual siap pada 25 Jun 2027,” menurut kenyataan itu.
Apabila siap kelak, loji tersebut dijangka mampu membekalkan air bersih kepada kira-kira 350,000 penduduk di Daerah Sibu, Kanowit, Selangau, Maradong dan Rassau sehingga 2036.
Turut hadir dalam lawatan kerja itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datu Jafri Lias; Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah Awg Redzuan; dan Pengurus Besar LAS, Abdul Malik Abdullah
Oleh Tarani Lanting