KUCHING: Kementerian Utiliti Sarawak memperuntukkan RM9 juta untuk menaik taraf kemudahan air di 50 sekolah di kawasan luar bandar.
Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata peruntukan itu selaras dengan matlamat kerajaan Sarawak untuk membekalkan air dan elektrik kepada seluruh isi rumah menjelang 2025.
“Selepas selesai sahaja penyediaan kemudahan air ini, kita akan memohon lagi untuk sekolah lain berdasarkan keutamaan.
“Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan RM1 bilion untuk membaik pulih sekolah daif manakala kementerian kita menyediakan dana untuk menaik taraf kemudahan utiliti,” katanya.
Dr. Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Dana Pengurusan dan Aktiviti PIBG Sekolah-Sekolah DUN N.4 Pantai Damai semalam.
Dr. Abdul Rahman menambah kementeriannya akan membantu sekiranya ada keperluan untuk memasukkan sekolah dan klinik yang berdekatan dengan penempatan di kawasan pedalaman dalam setiap program bekalan air dan elektrik luar bandar.
“Kita juga berhasrat untuk membantu sekolah di luar bandar mendapat bekalan air bersih dan elektrik 24 jam seperti yang telah dibekalkan ke kampung dan rumah panjang di pedalaman.
Terdahulu, Dr. Abdul Rahman menyampaikan sumbangan Dana Pengurusan dan Aktiviti PIBG Sekolah-Sekolah DUN N.4 Pantai Damai kepada 18 sekolah di dalam kawasannya.
Menurutnya sekolah yang terlibat adalah 13 sekolah rendah dan lima sekolah menengah.
“Sumbangan ini bertujuan sebagai sokongan kepada PIBG yang sentiasa mendokong kepada pengurusan sekolah terutama dalam memperkasa bidang pendidikan.
“Kalau sekolah perlu sokongan, PIBG perlu sentiasa memberi sokongan termasuk menceriakan dan memperindahkan sekolah.
“Ini kerana persekitaran yang kondusif dapat mempengaruhi minda pelajar,” ujarnya mengakui keindahan sekolah hasil inisitif PIBG juga akan menarik minat orang luar sekali gus memberi persepsi positif terhadap sekolah berkenaan.
Oleh Diyana Samsuddin