
KUCHING: Perancangan naik taraf kawasan sekitar Hikmah Exchange akan dilaksanakan secara tersusun tanpa mengulangi masalah pemilikan tanah dan pembangunan tidak terancang seperti yang berlaku di Kampung Baru, Kuala Lumpur (KL).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri tidak mahu pembangunan di kawasan berkenaan berdepan isu pemilikan berlapis yang menyukarkan proses pemodenan dan perancangan jangka panjang.
Menurut beliau, perancangan awal akan dibuat bagi memastikan kawasan kampung sedia ada dapat dimodenkan secara berperingkat tanpa menjejaskan nilai warisan serta hak penduduk asal.
“Kita tidak mahu keadaan seperti Kampung Baru di Kuala Lumpur berulang di sini. Kampung sedia ada perlu dikekalkan sebagai kampung moden dengan kemudahan lengkap, tetapi dalam susun atur yang terancang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan ke tapak pembinaan stesen ART Hikmah Exchange di Padang Pasir, hari ini.

Abang Johari berkata, pendekatan pembangunan di kawasan itu adalah bergantung kepada persetujuan penduduk, termasuk usaha menaik taraf kediaman dan kemudahan awam tanpa paksaan pengambilan tanah.
Menurut beliau, kawasan sekitar Hikmah Exchange memiliki nilai sejarah dan identiti tersendiri, termasuk kampung ‘bernombor’ yang menjadi sebahagian daripada sejarah bandar Kuching dan berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan bandar.
Beliau berkata, perancangan pembangunan kawasan itu juga mengambil kira kewujudan aset pelancongan utama seperti muzium, bangunan kraf tangan, sekolah lama serta kemudahan awam yang boleh disusun sebagai satu laluan pelancongan bandar yang tersusun.
Selain itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri turut mempertimbangkan cadangan pembangunan hotel dan kemudahan sokongan lain bagi menyokong aktiviti pelancongan serta penganjuran acara perniagaan dan persidangan di Kuching.
Bagaimanapun, beliau menegaskan semua pembangunan di kawasan berkenaan perlu dirancang secara menyeluruh dan melibatkan semua agensi berkaitan bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Ini kawasan strategik. Kita perlu rancang dengan teliti supaya pembangunan yang dibuat mampan dan tidak menimbulkan masalah pada masa hadapan,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat