Naik taraf ICQS Sungai Tujoh perkukuh infrastruktur, tingkat kecekapan kawalan sempadan

Facebook
WhatsApp
RAKAM KENANGAN... Dato Sri Lee Kim Shin merakam gambar bersama Datuk Abdul Halim Abang Naili di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh hari ini.

MIRI, 8 Oktober: Projek naik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh dijangka memperkukuh keupayaan infrastruktur serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan kawalan sempadan di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, Datuk Abdul Halim Abang Naili, menghadiri Mesyuarat Berkaitan Projek Naik Taraf Kompleks serta Kerja-Kerja Berkaitan di ICQS Sungai Tujoh, semalam.

Mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat ICQS Sungai Tujoh itu dipengerusikan Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, dan turut dihadiri wakil JIM Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Pejabat Residen serta jabatan dan agensi berkaitan.

LAWATAN… Dato Sri Lee Kim Shin bersama delegasi mengadakan lawatan tapak bagi meninjau keadaan semasa kompleks selain menilai keperluan penambahbaikan dan kerja naik taraf yang bersesuaian.

Menurut kenyataan JIM Sarawak, dalam mesyuarat berkenaan, JKR Sarawak membentangkan skop kerja serta perincian projek naik taraf yang telah diluluskan di bawah RMK3 RP1 untuk penelitian dan tindakan pihak berkepentingan.

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada keperluan menaik taraf infrastruktur dan fasiliti sedia ada bagi memastikan ICQS Sungai Tujoh dapat terus menyokong kelancaran urusan kawalan sempadan serta pergerakan keluar masuk antara Malaysia dan Brunei.

Selesai mesyuarat, delegasi turut mengadakan lawatan tapak bagi meninjau keadaan semasa kompleks selain menilai keperluan penambahbaikan dan kerja naik taraf yang bersesuaian.

Usaha berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan bersama agensi berkaitan untuk memperkasa kemudahan ICQS Sungai Tujoh secara strategik, selain memastikan peruntukan kerajaan dimanfaatkan secara optimum bagi kepentingan keselamatan negara, pengurusan sempadan dan penyampaian perkhidmatan awam.

Oleh Adum Liu