
Bangunan Baitulmakmur II hari ini.
PETRA JAYA: Kerja naik taraf Dewan Suarah Kuching dan Stadium Sarawak kini berjalan mengikut jadual, meskipun berdepan beberapa cabaran teknikal dan logistik.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dakwaan bahawa projek naik taraf Dewan Suarah berjalan perlahan adalah tidak tepat kerana kerja utama seperti pembaikan bumbung telah disiapkan.
Menurut beliau, struktur unik bangunan tersebut yang menyerupai ‘bulu tangkis’ menjadikan proses pembaikan lebih kompleks dan memerlukan kos tinggi, termasuk cabaran membawa bahan ke bahagian atas memandangkan lif sedia ada tidak berfungsi.
“Apa yang penting, kerja sedang dilaksanakan dan bukannya dibiarkan. Malah projek ini dipercepatkan selepas insiden bumbung lama diterbangkan angin sebelum ini,” katanya pada sidang media Penganjuran Acara Triathlon Borneo 100 di Bangunan Baitulmakmur II , di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa berdasarkan taklimat daripada kementerian berkaitan, kontraktor projek kini berada di hadapan jadual pelaksanaan.
Dalam pada itu, Karim berkata isu utama yang masih perlu diselesaikan adalah sistem lif, yang disifatkan sebagai komponen kritikal bagi mengembalikan fungsi penuh bangunan tersebut seperti dahulu yang pernah menjadi lokasi restoran dan ruang santai popular.
Mengulas mengenai naik taraf Stadium Sarawak pula, beliau berkata projek berkenaan juga menunjukkan perkembangan positif dan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.
“Apabila saya melawat stadium tersebut, keadaannya sudah berubah sepenuhnya. Hampir keseluruhan bahagian dalaman dinaik taraf dan akan tampil seperti stadium baharu.
“Semua tempat duduk akan dipasang kerusi sepenuhnya, tidak seperti sebelum ini. Reka bentuk baharu juga akan memberi penampilan seperti sarang dengan penutup serta bahan baharu,” jelasnya.
Namun begitu, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan kos bahan binaan susulan perkembangan konflik di Timur Tengah yang boleh menjejaskan tempahan komponen tertentu bagi projek berkenaan.
Oleh Shahrul Qaizat