Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Naik taraf CAFTA China-ASEAN tambah keyakinan terhadap ekonomi dunia
  • BISNES

Naik taraf CAFTA China-ASEAN tambah keyakinan terhadap ekonomi dunia

Utusan Sarawak 22 hours ago

BEIJING: Di tengah-tengah peningkatan perlindungan perdagangan dan unilateralisme di peringkat global, penambahbaikan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) merupakan langkah penting dalam menyuntik keyakinan dan kepastian terhadap ekonomi dunia, lapor Xinhua.

Pada Selasa, para menteri ekonomi dan perdagangan dari China dan negara anggota ASEAN mengumumkan bahawa rundingan penuh bagi CAFTA Versi 3.0 telah selesai sepenuhnya. Perjanjian yang dipertingkat itu merangkumi sembilan bab baharu termasuk bidang ekonomi digital, ekonomi hijau, keterhubungan rantaian bekalan, antara lain.

Langkah bersejarah ini melibatkan dua ekonomi membangun utama, iaitu China dan ASEAN, sekali gus menegaskan nilai berkekalan pasaran terbuka dan kerjasama pelbagai hala. Dengan menyokong perdagangan bebas secara konsisten, ia bukan sahaja memberikan kepastian lebih besar kepada perdagangan serantau dan global, malah menjadi model keterbukaan, keterangkuman dan kerjasama menang-menang.

Didorong oleh CAFTA yang dilancarkan pada 2010, perdagangan dua hala mencatat pertumbuhan kukuh. China telah menjadi rakan dagang terbesar ASEAN selama 16 tahun berturut-turut, manakala blok 10 negara itu merupakan rakan dagang utama China sejak lima tahun lalu. Tahun lepas, nilai perdagangan dua hala mencecah hampir AS$1 trilion.

Kerjasama ekonomi dan perdagangan yang memberangsangkan ini telah menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi China dan ASEAN, serta memberi manfaat yang ketara kepada rakyat di rantau ini.

Naik taraf CAFTA yang amat dinanti-nantikan ini merupakan langkah besar dalam memperkukuh penglibatan dua hala dan integrasi ekonomi serantau, sesuatu yang penting bagi pertumbuhan mampan kedua-dua ekonomi. Ia juga merupakan usaha bersama China dan ASEAN untuk menstabilkan rantaian industri dan bekalan serta mengusahakan kemakmuran dan pembangunan bersama.

China dan ASEAN — kedua-duanya anggota Selatan Global — menyumbang satu perempat daripada populasi dunia dan satu perlima daripada KDNK global, serta lebih 30 peratus kepada pertumbuhan ekonomi global. Namun terdapat jurang pembangunan infrastruktur dalam kalangan negara ASEAN, dengan “jurang digital” kekal sebagai halangan utama kepada integrasi ekonomi. Peraturan baharu yang digariskan melalui rundingan CAFTA 3.0 dijangka membantu negara ASEAN merapatkan jurang digital ini.

Selain itu, usaha bersama diperlukan untuk mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan serta hak pembangunan negara Selatan Global, ketika peningkatan tindakan unilateralisme dan dasar perlindungan menjejaskan prospek perdagangan global dan menggugat kestabilan ekonomi dunia.

Dengan keterbukaan dianggap sebagai ciri utama pemodenan negaranya, China komited untuk membina ekonomi terbuka bertaraf lebih tinggi dan berkongsi peluang pembangunan dengan dunia. Naik taraf CAFTA akan menyediakan perlindungan institusi yang penting untuk membina pasaran mega China-ASEAN bersepadu.

Dengan rundingan CAFTA 3.0 kini selesai, protokol naik taraf dijangka akan dimeterai secara rasmi sebelum akhir tahun ini — dengan China dan ASEAN bersedia untuk membina komuniti serantau yang lebih erat dengan masa depan yang dikongsi bersama.– Bernama-Xinhua

Continue Reading

Previous: Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China tawar peluang tingkatkan integrasi ekonomi
Next: Niaga hadapan FBM KLCI dijangka diniagakan seiring dengan pasaran tunai minggu depan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.