
SIBU: Naib Gabenor Daerah Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308-A2 Dato Jimmy Tie mengadakan kunjungan rasmi ke Ibu Pejabat Lions International Multiple District 310 di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Turut serta Pengerusi Penganjur Sidang Kemuncak Pemimpin Lions Asia Pasifik 2026 Dato Betty Wong dan bendahari penganjur Jamie Tiew.
Kunjungan rasmi itu adalah sempena memperkukuhkan persahabatan antarabangsa dan mempromosikan Sidang Kemuncak Pemimpin Lions Asia Pasifik 2026 pada 17 hingga 19 Julai tahun depan di Sibu.
Delegasi telah disambut mesra oleh barisan kepimpinan MD310 antaranya Bekas Pengerusi Majlis (PCC) Toy,
Gabenor Daerah (DG) Kampan dari Daerah 310 C, DG Sophia dari Daerah 310 A1, Naib DG Waraporn dari Daerah 310 E, Naib DG Boontiam dari Daerah 310 C serta dua bekas Gabenor Daerah PDG Supa dan PDG Rote.
Dalam sesi pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai inisiatif khidmat masyarakat, pembangunan belia, perancangan jangka panjang dan pelbagai aktiviti sosial berimpak bagi komuniti masing-masing.
Perbincangan berlangsung secara mesra dan konstruktif, melambangkan hubungan erat serta semangat perpaduan Lions antarabangsa.
Sementara itu, Betty turut memberikan taklimat mengenai skala penganjuran, kepentingan antarabangsa dan penyertaan yang dijangka bagi Sidang Kemuncak Pemimpin Lions Asia Pasifik 2026.
“Acara itu dijangka menghimpunkan pemimpin Lions dari sekurang-kurangnya 17 negara, menjadikannya antara program antarabangsa terbesar di rantau Asia Pasifik,” katanya menerusi kenyataan.
Oleh Akun Giman