
PUTRAJAYA: Nahas maut membabitkan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak boleh dielakkan jika lori yang terlibat menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) secara ketat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata siasatan awal mendapati lori berkenaan mengalami kerosakan yang menyebabkan sistem steringnya tidak berfungsi dan itu adalah perkara yang tidak akan berlaku jika kenderaan tersebut menjalani pemeriksaan secara berkala.
“Tidak seharusnya berlaku jika kenderaan itu telah melalui ujian Puspakom. Untuk itu, kita bukan hanya meletakkan tanggungjawab kepada pemandu lori tetapi tuan punya syarikat juga harus dipertanggungjawabkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) di sini hari ini.
Pada 8.50 pagi tadi, sembilan anggota FRU maut manakala dua lagi cedera parah selepas trak yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam.
-Bernama