
MUNICH, Jerman: Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann, dilaporkan meletakkan jawatan susulan penyingkiran mengejut pasukannya pada pusingan 32 terakhir Piala Dunia di tangan Paraguay, menurut beberapa laporan media.
Nagelsmann, yang masih mempunyai kontrak sehingga Kejohanan Eropah 2028, dilaporkan akur dengan permintaan Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) supaya beliau melepaskan jawatannya, menurut laporan Bild dan Sky Germany.
Pengundurannya membuka ruang kepada bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, yang dipercayai merupakan calon pilihan DFB untuk mengambil alih jawatan tersebut.
Klopp, yang meninggalkan Liverpool pada 2024 selepas melalui tempoh yang cemerlang dengan memenangi Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris, kini berkhidmat sebagai Ketua Global Bola Sepak Red Bull.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan mempunyai klausa pelepasan yang membolehkannya menerima jawatan sebagai jurulatih Jerman.
Sekiranya peletakan jawatan itu disahkan, Nagelsmann, 38, akan menjadi hanya jurulatih kedua dalam sejarah pasukan kebangsaan Jerman yang disingkirkan daripada jawatan tersebut, selepas Hansi Flick mengalami nasib yang sama pada 2023.
Jerman tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti kepada Paraguay di Boston pada Isnin selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.
Juara dunia empat kali itu sebelum ini turut tersingkir pada peringkat kumpulan di Rusia 2018 dan Qatar 2022. – AFP