Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • NADMA selaras tindakan rentas agensi hadapi risiko El Nino, Monsun Barat Daya
  • SEMASA

NADMA selaras tindakan rentas agensi hadapi risiko El Nino, Monsun Barat Daya

Utusan Sarawak 2 hours ago
KETUA Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim berkata, kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan nasional dan kerjasama rentas agensi bagi menghadapi risiko cuaca panas serta kering susulan fenomena El Nino yang dijangka berterusan hingga awal 2027. Foto: Bernama

PUTRAJAYA: Kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkukuh tahap kesiapsiagaan nasional susulan jangkaan cuaca panas dan kering lebih mencabar akibat fenomena El Nino yang dijangka berterusan hingga awal 2027.

Ia termasuk kerjasama rentas agensi bagi menghadapi sebarang risiko bencana yang berpunca daripada cuaca panas dan kering.

Ketua Pengarah NADMA Meor Ismail Meor Akim berkata walaupun keadaan masih terkawal, kerajaan tidak mengambil mudah dan semua agensi berkaitan telah diminta mempertingkat kesiapsiagaan serta melaksanakan langkah mitigasi lebih awal bagi memastikan keselamatan rakyat, kelangsungan bekalan air dan kesejahteraan negara terus terpelihara.

“Tiga siri operasi pembenihan awan dijadual untuk dilaksanakan dalam masa terdekat bagi membantu meningkatkan taburan hujan dan paras empangan di kawasan yang terjejas. 

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus membuat pemantauan dan mengeluarkan status kemas kini fenomena El Nino sepanjang Monsun Barat Daya (MBD),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata MetMalaysia turut diminta mengeluarkan ramalan jerebu dan menyalurkan maklumat ramalan kebakaran hutan kepada pihak bomba yang dijana melalui sistem atau Sistem Penilaian Tahap Bahaya Kebakaran (FDRS) dengan unjuran tujuh hari ke hadapan.

Meor Ismail berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diminta bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memantau 83 lokasi titik panas berisiko tinggi kebakaran terbuka secara berterusan sepanjang tempoh MBD bagi tujuan mitigasi awal. 

“JAS juga diminta mengenal pasti empangan yang memerlukan penyelenggaraan supaya pihak terlibat boleh mengambil tindakan segera manakala Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) perlu mengenal pasti lebih banyak lokasi sumber air bawah tanah untuk dibina telaga tiub sebagai satu daripada kaedah mitigasi di kawasan yang kekurangan air,” katanya.

Dari segi kesihatan awam, beliau berkata Kementerian Kesihatan diminta menyebarluaskan lagi hebahan mengenai kesan kesihatan akibat cuaca panas sebagai advokasi kepada orang ramai terutama kepada golongan berisiko tinggi.

Pada masa sama, Kementerian Pendidikan pula diminta melaksanakan program kesedaran menghadapi cuaca panas kepada pelajar sekolah di peringkat kebangsaan bagi meningkatkan kesedaran dan mengurangkan risiko kesan MBD itu.

Beliau menegaskan pendekatan keseluruhan kerajaan terus menjadi tunjang utama Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap agensi berkaitan berada pada tahap kesiapsiagaan optimum bagi menghadapi sebarang risiko bencana yang berpunca daripada cuaca panas dan kering.

“NADMA akan terus memantau perkembangan situasi semasa dan menyelaras tindakan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan serta kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya. – Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Amaran rebut petir, hujan lebat di 10 negeri termasuk Miri dan Marudi hingga  6.00 petang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.