NADMA giat nilai keperluan PPS di Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
TIMBALAN Ketua Pengarah NADMA (Bahagian Pengurusan Pasca Bencana), Datuk Hussain Moh ditemui Utusan Sarawak ketika mengadakan lawatan di PPS Kampung Entingan, hari ini. Foto Norman B

KOTA SAMARAHAN: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang giat menilai keperluan kemudahan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Sarawak bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) berada pada tahap terbaik.

Lawatan penilaian yang berlangsung selama dua hari itu dimulakan di PPS Kampung Entingan, Kota Samarahan sebagai sebahagian daripada penilaian terhadap 10 PPS yang dicadangkan oleh kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Timbalan Ketua Pengarah NADMA (Bahagian Pengurusan Pasca Bencana), Datuk Hussain Moh berkata, lawatan itu bertujuan mengenal pasti kekurangan kemudahan asas di setiap PPS bagi membolehkan kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan sebelum musim banjir.

Menurut beliau, antara aspek yang diberi keutamaan ialah penyediaan dan naik taraf kemudahan tandas, bekalan air bersih, tangki air serta pembaikan kecil termasuk sistem pengudaraan mengikut keperluan setiap premis.

TINJAUAN…Datuk Hussain Moh ketika mengadakan lawatan di PPS Kampung Entingan, hari ini. Foto Norman B

“Kita mahu melihat keperluan-keperluan yang sewajarnya untuk menambah baik kekurangan di PPS ini kerana kita tahu premis-premis ini digunakan sepenuhnya sewaktu bencana.

“Antara yang diberi perhatian termasuklah menambah baik kemudahan tandas dan bekalan air bersih, serta melakukan pembaikan kecil bagi menaik taraf fasiliti sedia ada,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak selepas lawatan tapak di PPS Kampung Entingan, Kota Samarahan, hari ini.

Beliau berkata, daripada 10 PPS yang dinilai, enam merupakan premis bukan sekolah di bawah pengurusan kerajaan negeri seperti dewan masyarakat, manakala empat lagi ialah premis sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Bagi premis bukan sekolah, kita akan berbincang dengan kerajaan negeri menerusi Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Sarawak, manakala bagi premis sekolah pula perbincangan akan dibuat bersama KPM. Kerjasama ini penting bagi memastikan kedua-dua kategori PPS ini dapat ditambah baik,” katanya.

LAWATAN penilaian NADMA di PPS Kampung Entingan, Kota Samarahan menjadi langkah awal mengenal pasti keperluan naik taraf kemudahan asas di PPS seluruh Sarawak sebelum bermulanya Monsun Timur Laut. Foto Norman B

Mengulas pelaksanaan projek, Hussain berkata kerja-kerja fizikal akan dimulakan sebaik sahaja senarai keutamaan dimuktamadkan dengan sasaran penambahbaikan berskala kecil dapat disiapkan sebelum bermulanya MTL.

Beliau berkata, kos bagi setiap PPS bergantung kepada skop kerja dan keadaan semasa premis, sambil menegaskan projek itu tidak melibatkan pembinaan struktur baharu, sebaliknya memfokuskan usaha menaik taraf kemudahan asas yang kritikal bagi meningkatkan keselesaan dan kebajikan mangsa sepanjang berada di PPS.

Oleh Norman B