

PELAKON Farah Nadia Zainal Abidin atau lebih dikenali Nad Zainal ketika ditemui Bernama di sebuah pusat beli belah, baru-baru ini. Foto BERNAMA
NILAI: Pelakon popular Nad Zainal percaya ibu bapa memainkan peranan penting dalam membimbing anak-anak menggunakan teknologi secara bijak, terutamanya untuk tujuan pembelajaran.
Mengimbangi penggunaan peranti pintar dengan pelajaran mungkin bukan tugas mudah, namun Nad yakin dengan pendekatan yang konsisten dan mesra anak, langkah itu mampu memberi kesan positif seperti yang dialami anak sulungnya Fahad Ibrahim Muhammad Faliq atau mesra dipanggil Yem Boy.
“Waktu dia darjah satu, keputusan peperiksaannya agak kurang memuaskan, tidak ada A pun. Tapi bila masuk darjah dua, ada peningkatan – dapat 3A dan dia naik kelas. Alhamdulillah, baru-baru ini keputusan peperiksaannya meningkat lagi, dapat 5A,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini baru-baru ini.
Menurut Nad, kejayaan itu hasil latihan berterusan melalui aplikasi Power Congak, sebuah aplikasi latihan matematik yang dibangunkan oleh suaminya, pelakon Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz.
“Kita memang beri penekanan kepada Matematik, tapi latihan dari buku pun tetap buat. Bila dia dah kuasai Matematik, subjek lain jadi lebih mudah untuk dia faham,” katanya yang mempunyai 2.3 juta pengikut di Instagram.
Nad, atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, berkata aplikasi Power Congak pada awalnya dibangunkan untuk kegunaan sendiri tetapi tidak menyangka ia mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan ibu bapa.
“Power Congak ada tahap-tahap seperti tambah, tolak, selain ada ‘timer’ untuk buat latihan, jadi lebih menarik. Sekarang kita ada kira-kira 400,000 pengguna dan semakin bertambah,” katanya.
Nad berkata penggunaan aplikasi itu digalakkan dilakukan secara konsisten setiap hari, sama ada sebelum atau selepas waktu sekolah.
Berpendapat pendekatan digital menjadi jambatan antara minat anak terhadap peranti pintar dan keperluan pembelajaran, beliau berkata penggunaan aplikasi seperti Power Congak dapat membantu mengawal aktiviti Internet anak-anak seperti YouTube.
Beliau turut berkongsi perancangan membangunkan aplikasi pembelajaran lain, iaitu Alam Arif dan Autograf Genius bagi membantu anak-anak menguasai pelbagai bidang secara interaktif.
Dalam perkembangan lain, Nad bakal muncul dalam filem terbaharu berjudul Denu, arahan Datuk Ahmad Tamimi Siregar yang dijadualkan ditayangkan bulan depan.
Dalam filem itu, Nad membawakan watak wanita yang tersepit antara kehendak diri dan tekanan keluarga untuk meneruskan legasi seni persembahan Mak Yong.
“Wataknya agak kompleks dan emosional. Saya perlu bertutur dalam dialek Kelantan dan betul-betul memahami latar seni Mak Yong. Ia memang mencabar saya sebagai pelakon,” katanya.– Bernama