PADAWAN: Sebuah Perodua Myvi mengalami kebakaran pada bahagian enjin dalam kejadian di H&L Extra Kota Padawan, malam ini.
Pusat Gerakan Operasi dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.43 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan tiba di lokasi pada 9.03 malam.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan sekitar lima peratus bahagian enjin kenderaan berkenaan.
“Api berjaya dipadamkan oleh anggota keselamatan menggunakan alat pemadam api dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian.
“Pasukan Bomba kemudian membuka bonet enjin kenderaan berikutan masih terdapat kepulan asap sebelum menjalankan kerja pemadaman bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
Operasi diketuai PBK I Ahmad Shah Sa’ad bersama enam anggota menggunakan sebuah LFRT dan sebuah EMRS.
Kebakaran disahkan terkawal pada 9.04 malam, manakala operasi ditamatkan pada 9.21 malam selepas keadaan didapati selamat dan tiada lagi tanda-tanda kebakaran.
Oleh Afiq Sallehi




